Buletin

ARCTIC TRUCKS BERI SENTUHAN PADA TRAK PIKAP CHINA WINGLE 7

Setakat ini, jenama Arctic Trucks banyak melakukan modifikasi terhadap trak-trak pikap terkemuka daripada Toyota, Mitsubishi, Nissan, Isuzu dan juga Ford.

Kali ini, sebuah trak pikap berjenama China menjadi projek terbaharu AT35 oleh Arctic Trucks, iaitu Great Wall Wingle 7.

Untuk trak pikap Wingle 7 ini, Arctic Trucks telah membawakan penambahan seperti add-on fender lebar yang mampu menambah kelebaran sebanyak 230 mm, rim aloi 17 inci yang dibaluti tayar 35 inci, serta jarak kelegaan tanah meningkat sebanyak 64 mm kepada 276 mm.

Selain itu, Arctic Trucks turut mempertingkatkan sistem suspensi serta menambah salutan anti-karat terhadap beberapa bahagian, diikuti dengan penambahan cangkuk di depan, sistem pemanas enjin automatik, serta beberapa penebat haba.

Wingle 7 ini masih lagi kekal dengan nadi standard 2.0 liter diesel turbo yang mampu menjana 143 hp, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, sistem pacuan semua roda dengan transfer case Borg Warner dan diff lock di bahagian belakang.

Menurut laporan media tempatan, proses modifikasi ini memakan masa tujuh hari untuk disiapkan, dan 20 hari untuk melengkapkan proses pensijilan.

Google ads
Back to top button