" "
Buletin

WULING XINGCHEN – SUV 2.0L HIBRID, 0-100 KM/J 7.8 SAAT, DARI RM65K DI CHINA

Pasaran China kini menerima kehadiran sebuah SUV hibrid yang pertama hasil kerjasama antara SAIC, GM dan juga Wuling.

SUV Xingchen ini membawakan ukuran sepanjang 4,954 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1,750 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,750 mm.

Model Wuling Xingchen ini dijana dengan trenkuasa hibrid yang terdiri daripada enjin 2.0 liter, serta motor elektrik berkuasa 134 hp/320 Nm.

Kuasa gandingan tidak dinyatakan, namun pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.8 saat dengan bacaan penggunaan bahan api serendah 4.6 liter/100 km.

Rekaan luaran Wuling Xingchen ini memang tidak dapat lari daripada identiti SUV buatan China.

Di bahagian depan, Xingchen dipasangkan dengan gril menegak dengan bahasa rekaan estetik sayap bergerak, unit lampu utama bersegi, lampu kabus pada bahagian hujung bampar serta skid plate perak.

Sementara bahagian belakang pula menampilkan unit lampu dengan grafik moden yang dihubungkan dengan trim hitam berkilat.

Ruang kabin dilengkapi dengan kelengkapan moden, seperti roda stereng bawah rata, skrin kluster digital lapan inci, serta skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci yang dilengkapi dengan sistem operasi Ling OS dan sokongan kemaskini over-the-air.

Antara ciri lain termasuklah kerusi baris belakang yang boleh disandarkan ke belakang sebanyak 14 darjah, dan bumbung panorama yang ditawarkan sebagai opsyen.

Harga jualan di pasaran China bermula dari 99,800 yuan (RM64,834).

Google ads
Back to top button