Buletin

ART GAGAL BERFUNGSI SEPENUHNYA DI IKN NUSANTARA, INDONESIA HANTAR SEMULA KEPADA CHINA

Indonesia bakal menghantar kembali tren Autonomi Rapid Transit (ART) buatan China selepas kenderaan tersebut gagal berfungsi secara automatik sepenuhnya semasa ujian di ibu negara baharu Nusantara.

Sistem ART ini, yang merupakan gabungan antara tren, tram, dan bas, adalah pengangkutan pintar yang direka untuk bergerak secara automatik dengan bantuan sensor dan roda getah.

Dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan China, China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC), ia mampu beroperasi sama ada di atas trek khas atau jalan raya biasa.

Pengarah Pembangunan Ekosistem Digital Pihak Berkuasa IKN, Tonny Agus Setiono, menyatakan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Indonesia untuk memulangkan tren tersebut pada tahun ini.

Menurut laporan dari kompas.com, percubaan ART diadakan dari 12 September hingga 22 Oktober di Daerah Pemerintahan Pusat (KIPP) Nusantara, namun ia memerlukan campur tangan pemandu dalam situasi kecemasan dan gagal memenuhi kriteria penilaian IKN.

Projek ART di Nusantara ini dianggarkan bernilai Rp210 bilion (sekitar RM58.9 juta), dengan setiap unit tren mampu membawa 307 penumpang pada kelajuan maksimum 70 km/j, walaupun dijangka beroperasi pada kelajuan 40 km/j.

Selain Nusantara, Indonesia turut merancang membangunkan sistem ART di kawasan tumpuan pelancong di Kuta, Bali, untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas.

Keputusan untuk melibatkan ART diambil selepas lawatan bekas Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi, ke China pada awal Januari lalu.

Indonesia kini membina hubungan erat dengan China dalam pembangunan infrastruktur rel. Selain projek ART, Indonesia juga bekerjasama dengan China dalam projek kereta api laju Whoosh dari Jakarta ke Bandung, yang mula beroperasi pada Oktober 2023.

Sebelum ini, Indonesia lebih banyak bergantung kepada teknologi keretapi dari Jepun. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia telah mula memilih China sebagai rakan kerjasama utama dalam industri pengangkutan awam mereka. – iloveborneo

Google ads
Back to top button