Artikel Pilihan

DUA TERBUNUH SEBELUM BAJA 1000 BUKA TIRAI – MOTORSPORT IS DANGEROUS ITU BENAR

Perlumbaan tahan lasak paling berbahaya di dunia BAJA 1000 baru sahaja bermula Khamis lepas dan belum pun kesemua peserta dilepaskan ia telah meragut dua nyawa. Ia berlaku bila pemandu jentera nombor 79 menekan minyak dengan kuat semasa proses pemeriksaan menyebabkan ia meluncur ke hadapan dan melanggar kenderaan di hadapan. Empat orang tercedera akibat terhimpit dan dua darinya disahkan meninggal dunia.

Mangsa dikenali sebagai Fred Goff James dan CBS 8 San Diego dan Esteban Velasquez. Keduanya merupakan warganegara AS. Mereka dibawa ke Velmar Hospital, sebuah pusat perubatan swasta dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terhimpit antara dua kenderaan.

Score International, badan yang mengawal selia perlumbaan tersebut akan mengenakan denda terhadap pihak berkuasa tempatan dan negeri kerana kegagalan mereka memainkan peranan dalam mengetatkan langkah keselamatan lebih-lebih lagi melibatkan orang awam ataupun penonton.

Juan Tintos Funke, Pengurus Besar Score International menyatakan kemalangan berlaku akibat kecuaian yang dilakukan oleh ahli Buehler Offroad Motorsport yang berada di tempat pemandu ketika insiden berlaku. Belum dapat dipastikan kenapa pemandu tersebut tiba-tiba memecut ketika beratur untuk pemeriksaan akhir.

Ia jelas kesalahan pemandu terbabit dan pihak berkuasa telah melakukan tangkapan dan rampasan ke atas kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. Penganjur juga sedang memastikan kesemua mangsa yang terlibat diberikan bantuan sewajarnya.

Penyertaan penonton dalam perlumbaan BAJA 1000 ini merupakan perkara biasa. Mereka akan berkumpul di kawasan permulaan sebelum bertebaran ke seluruh lokasi perlumbaan untuk mendapatkan sudut tontonan yang paling baik.

Sama seperti mana-mana acara sukan motor, bahaya memang sentiasa menunggu sama ada kepada peserta mahu pun penonton. Itulah harga yang perlu dibayar kalau nak terlibat dengan acara macam ni. Jadi utamakan keselamatan sepanjang masa jangan asyik nak seronok semata-mata.

Google ads
Back to top button