
TERKINI: SKUTER MAXI MODA 250 JALANI UJIAN DI MALAYSIA, LANCAR 2025
Baru-baru ini tular beberapa gambar yang memaparkan sebuah motosikal serba baharu menjalani ujian jalan raya di Malaysia.


Motosikal tersebut yang jelas menampakkan rupa sebuah skuter dikatakan sedang giat menjalani ujian fasa akhir dan sedia untuk dilancarkan untuk pasaran tempatan.
Rujukan dengan beberapa sumber mendapati skuter tersebut merupakan skuter jenama Wottan/Taro yang bakal dijual di Malaysia menerusi AMI (AFY Mobility Industries) yang juga merupakan pengedar rasmi Suzuki Malaysia disini.

Difahamkan, skuter tersebut yang dikenali sebagai Wottan Storm-R 300 akan ditawarkan sebagai skuter bersesaran 250cc dan dijenamakan semula sebagai MODA. Pada masa sama kami difahamkan skuter tersebut telah menjalani ujian lebih setahun bagi memastikan kualiti dan ketahanan mencapai standard untuk pasaran Malaysia.
Atas keras, Storm-R 300 ini bukan sahaja menawarkan reka bentuk moden malah turut dilengkapi dengan ciri terkini termasuk skrin TFT, sistem keyless, ABS (boleh dipadamkan) dan traction control.

Skuter maxi ini juga menawarkan ciri praktikal termasuk tangki bahan api berkapasiti 14.5L, storan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet, penghadang angin boleh laras dan lampu LED.

Pakej suspensi pula terdiri dari fork depan jenis USD 37mm dengan jarak gerak 120mm dan penyerap hentak berkembar belakang dengan jarak gerak 75mm sementara brek merangkumi cakera berkembar 260mm depan dengan kaliper 4-pot dan cakera brek tunggal 220mm belakang dengan brek 2-pot.

Dalam pada itu, Storm-R 300 ini dipacu enjin satu silinder 300cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 26hp pada 8,500rpm dan 24Nm pada 6,500rpm. Bagaimanapun, ekoran enjin tersebut dikecilkan kepada 250cc bagi pasaran Malaysia, angka kuasa dan tork dihasilkan dijangka menurun sedikit.

AMI sebelum ini telah pun memperkenalkan jenama MODA ketika di MotoGP Malaysia tahun lalu.