Artikel Pilihan

ALKISAH DWAU ONE MOTORSPORTS BAGAN DATUK RALLY TEAM

Tahun 2017 adalah musim yang penuh gemilang buat pasukan rali DWau One Motorsports Bagan Datuk Rally Team (BDRT). Mana tidaknya, sudahlah Prinsipal pasukan, Roduwan muncul juara MRC 2017, Heenze yang baru menyertai pasukan dalam tempoh dua tahun turut bergelar juara bagi kategori 2WD. Keseronokan bertambah lagi apabila pasukan yang berpangkalan di Klang ini turut merangkul juara keseluruhan kategori Pasukan dengan mengumpul 172 mata keseluruhan.

BACA : RODUWAN RASHID YANG PATUT KITA KENALI

BACA : GINA FINANZA DAUD YANG PATUT KITA KENALI

Brader Karrager merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk mengangkat kisah pasukan rali tempatan yang gigih bertahan semenjak ditubuhkan penghujung tahun 2008. Ianya bermula ketika Roduwan menghabiskan musim rali bersama pasukan Ejam Motorsports dengan memandu Kelisa 4WD. Dan tertubuhlah One Motorsports (One : Wan = nama sendiri) selain daripada ingin mempromosikan jenama One Communications, perniagaan komunikasi dua hala milik Roduwan juga.

Pada tahun 2013, Roduwan telah bergabung dengan Khalid untuk menubuhkan One Motorsports Services. Dan sudah tentulah, Roduwan bersyukur dengan kehadiran Mummy Khalish yang turut bertindak selaku Pengurus untuk bagi merencanakan pasukan dalam saingan rali.

Sebagai sebuah pasukan tempatan yang biasa-biasa, kesukaran mencari penaja adalah lumrah buat Roduwan. Namun pada 2013 rezeki menyebelahinya apabila Kerajaan Negeri Perak sudi menaja, lantas membawa nama sebagai Bagan Datuk Rally Team (BDRT). Nama ini telah dipilih hasil ilham bersama dengan Hj Suhaimi. Kehadiran DWau Travel sebagai penaja juga, menjadikan pasukan ini sebagai DWau One Motorsports Bagan Datuk Rally Team.

Di awal penubuhannya, pasukan ini mempunyai dua buah Impreza GC8, sebuah Kelisa dan sebuah Kancil. Kini, mereka mempunyai tiga buah Impreza GC8, sebuah Satria Neo, empat buah Satria, dua buah Kelisa, sebuah Saga Klasik dan juga dua buah kereta yang masih dirahsiakan untuk disiapkan.

Pasukan ini turut menjalinkan kerjasama dengan IKTBN Temerloh di bawah Akademi Motorsports melalui Pengarah Dr. Mohd Yusoff Abu Bakar. Malah Akademi Motorsports sebenarnya mempunyai pemandu rali yang handal (Juara MRC 2016), saudara Shazly yang turut bertindak sebagai tenaga pengajar.

Melalui kerjasama ini, IKTBN Temerloh menyediakan tenaga kerja yang terdiri daripada para pelajar. Secara tidak langsung, mereka memperolehi ilmu yang berguna untuk dipraktikkan. Malah, mereka turut terlibat dalam penyediaan jentera Impreza Roduwan di awal dahulu.

Dahulunya pasukan ini berpengkalan di Meru, Klang. Namun dek kerana pertambahan jentera rali yang semakin melimpah ruah, sebuah markaz baharu telah dipilih di Beranang yang dipunyai sendiri. Malah, tempat untuk menguji jentera dekat sahaja dengan markaz yang baharu ini. Nak lepak berkumpul bersama barisan pelumba dan ahli keluarga pun boleh juga.

Bagi musim 2018, kesemua barisan pelumba musim 2017 masih ingin bersama pasukan yang mengamalkan prinsip kekeluargaan sebagai tunjang utama dalam perhubungan. Eceh.

Malah, mereka sebenarnya baru sahaja berjaya mengikat seorang pelumba terkemuka dari negara jiran yang bakal menjadi rakan sepasukan seperti Hj Suhaimi dan juga Henzee. Selain itu, negosiasi turut sedang berlangsung dengan pelanggan dari Jepun, nak sewa jentera rali barangkali.

Sungguh pun barisan penuh pelumba hanya bakal diumumkan sekitar bulan Mac nanti, namun kalau anda jenis berbakat berlumba rali peluang sebenarnya masih ada lagi untuk menyertai pasukan handalan ini. Tapi harus ada tapisan dan syarat. Laju sahaja tidak memadai. Apa syaratnya? Kena PM Chepot sendiri. Karang bocor pula rahsia,

Oh ya, sebagai penutup kepada artikel panjang ini, Roduwan, Khalid, dan juga Mummy Khalish berharap pasukan ini terus berjaya dan memberikan saingan sengit untuk musim 2018. Dan semoga akan ada penaja bertaraf antarabangsa akan sudi bersama mereka seperti mana BETA Tools yang telah menaja mereka selama 3 musim.

Kredit Foto: FB Roduwan & Malaysianrally

 

 

Google ads

B K

Back to top button