Artikel Pilihan

INILAH SENARAI MODIFIKASI KERETA YANG TAK SEPATUTNYA WUJUD DI BUMI

Terdapat pelbagai cara untuk mengubahsuai kereta sekarang ini. Ada yang dilakukan untuk peningkatan prestasi dan ada pula untuk mereka yang mementingkan rupa luaran kenderaan ataupun lebih kepada kosmetik.

Biasanya kami lebih gemarkan modifikasi yang mempunyai impak positif seperti peningkatan aspek prestasi dan juga kawalan, selain rupa luaran yang tidak terlalu menjolok mata (mungkin sebab kami ni dah berusia kot).

Beberapa tahun dulu antara trend modifikasi popular ialah dengan melengkapkan lampu-lampu neon di bawah badan kereta ala Fast and Furious.

Ini tidak lebih dari aspek kosmetik dan dah jarang orang buat pun. Tetapi ada juga beberapa trend modifikasi lagi yang kami rasakan tidak patut kita lakukan dan agak membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.

Nasib baiklah trend-trend sebegini biasanya tidak kekal dan akan berlalu pergi. Masalahnya akan ada trend mengarut lain yang bakal menyusul. Untuk memastikan pendapat kami ini adil, kami juga telah berbincang mengenai perkara ini dengan mereka-mereka yang terlibat secara langsung dalam industri permotoran.

Baik para jurutera, pekerja pemasangan, penguatkuasa, penulis permotoran, mat rempit dan ramai lagi. Kesimpulannya, hampir semua miliki pendapat yang sama. Ia tidak berfaedah dan tidak sepatutnya menjadi ikutan.

Namun harus diakui yang trend sebegini merupakan sesuatu yang subjektif. Macam mana kuat alasan yang kami berikan, keputusan tetap di tangan pemilik.

Duit mereka, masa mereka dan kereta pun memang kereta mereka. Cuma yang menjadi masalah bila ia mengundang bahaya baik kepada mereka apatah lagi kepada pengguna jalan raya yang lain.

Kita tengok beberapa contoh trend mengarut yang biasa kita lihat di jalan raya.

TAMPAL STICKER YANG BIASA TERDAPAT PADA BAS EKSPRES

Lebih ke arah kosmetik sebenarnya tetapi entah apa tujuan di sebaliknya. Biasanya stiker ini mempunyai beberapa kotak dengan tulisan Wi-Fi, durian tidak dibenarkan, 18SG, ABS dan macam-macam.

Yang terlebih semangat bukan satu bahagian sahaja tetapi kiri dan kanan tingkap kereta ditampalnya. Jika diletakkan di badan bas ekspres kita faham ia untuk menyatakan yang kemudahan seperti Wi-Fi disediakan di dalam bas tersebut.

Tetapi dekat tingkap kereta Taliban? Kau dah kenapa?

MEMASANG LAMPU LED PADA KENDERAAN 4X4

Jangan salah faham, kami pun tahu apa fungsinya lampu-lampu led ini pada kenderaan 4×4. Namun kenderaan 4×4 yang kami maksudkan ini bukannya kenderaan khusus yang digunakan untuk meredah belantara.

Ia lebih kepada kenderaan untuk bergaya di kota-kota besar. Paling ganas pun panjat laluan pejalan kaki untuk pakir. Habis segala spotlight LED di pasangnya siap dengan lightbar 12 kaki panjang.

Aksesori ini sebenarnya untuk kegunaan sewaktu ekspedisi meredah hutan yang memang perlukan pencahayaan lebih. Ia juga merbahaya jika dipasang kerana menyilaukan kenderaan lain yang datang dari arah hadapan.

Apatah lagi ketika menyuluh mata Abang Japar yang sedang menunggang Demak Interchange dengan lampu secerah reban ayam. Kelam kabut dibuatnya.

STICKER BOMBING

Masih lagi mengenai sticker. Ia dipanggil stiker bombing ataupun bom stiker kerana pemilik suka menampal bukan satu malah berpuluh-puluh stiker pada kereta mereka.

Sebut sahaja stiker apa, produk penjagaan kereta, minyak enjin, kelab, aktiviti kelab, parti tupperware semua ditampalkannya pada badan kereta.

Itu tak apa lagi, tidak cukup dengan itu ditampalnya pulak di cermin  belakang dengan perkataan marsyal lengkap dengan nombor keahlian kelab dan stiker aktiviti yang disertai sampai nak undur kereta pun susah.

MENGANTUNG PATUNG-PATUNG PERMAINAN DI BAHAGIAN BAWAH KERETA

Inilah satu trend yang Pak Amid marah betul. Bayangkan dibelinya patung mainan budak-budak macam Teddy Bear kecik kemudian digantungnya terbuai-buai dekat paip ekzos.

Trend ini sebenarnya berasal dari Jepun tetapi mungkin sebab mereka sedar yang trend ini memang mengarut lalu meninggalkannya.

Macam mana nak ajar anak-anak dengan nilai murni kalau permainan mereka seperti anak-anak patung diletakkan sedemikian rupa. Itu kalau yang dibuat dengan kain ataupun foam, bagaimana dengan yang diperbuat daripada plastik keras?

Jika ia tertanggal dan melantun ke cermin hadapan kereta di belakang. Cukup ke dengan minta maaf?

TAYAR KANGKANG/HELLAFLUSH YANG MELAMPAU

Kereta kalau dibuat untuk pertunjukan atau pertandingan masih boleh dimaafkan. Tapi kalau nak pandu setiap hari, ia bukan hanya kelihatan kelakar tetapi juga agak merbahaya kerana sudut geometri suspensinya tidak lagi stabil. Bagaimana boleh mampu memandu dengan selamat jika tinggi kenderaan cuma beberapa milimeter sahaja daripada permukaan bumi?

Sesetengah pemilik pula menggunakan tayar yang lebih kecil daripada saiz rim sehingga menyebabkan bahagian bibir luar rim terjulur keluar. Gabungkan semua unsur ini dan akan dapati yang kenderaan yang anda pandu telah terjejas dari segi cengkaman dan kestabilan.

Sekali lagi, untuk menyertai autoshow memang tiada masalah tetapi nampaknya ramai yang menggunakannya di jalan raya.

RUANG KEMASUKAN UDARA PALSU

Ia biasanya ditampal pada bahagian fender hadapan kiri dan kanan untuk meniru rekaan model-model M BMW tetapi memang langsung tidak berguna sebenarnya.

EKZOS BERSAIZ RASAKSA

Syukurlah sekarang ini ekzos bersaiz mega sudah diambang kepupusan. Ekzos bersaiz besar mungkin sesuai bila digandingkan dengan enjin V8 ataupun V12.

Namun apa yang dilakukan di tempat kita ialah menggabungkan enjin ekonomi empat selinder dengan ekzos sebesar serombong kapal. Prestasi entah ke mana dapat pulak bonus kena maki dengan orang lain.

PIN PENUTUP BONET TIRUAN

Pin yang sebenar digunakan pada kereta-kereta lumba dan berfungsi untuk menutup bonet yang biasanya diperbuat daripada gentian karbon ringan agar lebih kemas.

Pin palsu pula dijual dengan meluas dikedai aksesori dan dilekatkan hanya dengan menggunakan pelekat double-sided ataupun mengunakan rivet. Malah kami perhatikan ramai yang menggunakannya untuk mengikat bumper yang sudah hampir jatuh ataupun sebagai pengganti klip yang patah. Lagi kelakar.

PENGGUNAAN SPOILER YANG LANGSUNG TAK KENA TEMPAT

Spoiler berfungsi dengan memberikan tambahan downforce bila kereta dipandu dengan laju sewaktu berlumba jika dilaras dengan betul.

Spoiler yang kami maksudkan di sini ialah spoiler yang berbentuk entah apa-apa dan dilekatkan pada semua model kereta kononnya untuk membantu aspek pengendalian.

Ia mungkin membuatkan kereta anda kelihatan laju tetapi sesetengah rekaan tu memang agak melampau. Ada yang kelihatan seperti kepingan aluminum yang dibengkokkan dengan gigi Pak Amid pun ada.

Syukurlah kepada tuhan, trend pakai spoiler ni dah hampir pupus.

PENYALAHGUNAAN INSIGNIA/STIKER TYPE-R

Percaya atau tidak di Malaysia ni memang banyak model Type-R. Dari sekecil-kecil Kancil sehinggalah ke van penumpang. Semuanya penuh dengan tampalan Type-R kiri, kanan, depan dan belakang.

Kalau tak cukup lagi beli pula bantal rehat kepala, tombol gear, pembalut stereng, alas kaki, spendar dan macam-macam lagi. Semuanya lengkap dengan sulaman Type-R. Sampaikan kami rasa model-model Honda Type-R ni memang dah tak eksklusif lagi.

Sebelah rumah abang pun ada Nissan Sunny Extra Type-R ni. Itu belum campur Nissan Vanette Type-R dan Hyundai Atos Type-R.

Fuhh…sabar je lah.

Kalau korang ada lagi benda nak dikongsi, mari kita berjemaah di ruang komen.

Ayuh!

BACA: CADANGAN MODIFIKASI PROTON WIRA

BACA: MODIFIKASI RETRO VOLVO 245 WAGON

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button