AS SAMAN HYUNDAI KERANA GUNAKAN PEKERJA BAWAH UMUR
Department of Labor Amerika Syarikat telah menyaman tiga syarikat termasuk Hyundai Motor Manufacturing Alabama bagi menghalang mereka dari menggunakan pekerja bawah umur. Kerajaan juga sedang menimbang untuk merampas semua keuntungan yang diperolehi hasil penggunaan tenaga kerja buruh bawah umur. Jangan main-main dengan peraturan Amerika Syarikat.
Saman tersebut difailkan selepas satu siasatan yang mendapati seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bekerja selama 50-60 jam seminggu di kilang pemasangan Hyundai, Alabama. Remaja tersebut dikatakan menjaga mesin yang membuat panel badan kenderaan dari kepingan logam.
Walaupun disaman Hyundai dikatakan tidak terlibat sepenuhnya kerana pekerja tersebut dipilih oleh syarikat Best Practise Service yang kemudian menghantarnya ke SMART Alabama. SMART Alabama merupakan pembekal komponen kepada Hyundai Motor Manufacturing Alabama.
Dengan kata lain, Best Practise Service merupakan syarikat agensi pekerjaan yang bertanggungjawab menghantar remaja berusia 13 tahun untuk pekerja di barisan pemasangan SMART Alabama, yang menghasilkan komponen untuk Hyundao. Namun begitu, kerajaan mendakwa ketiga-tiga syarikat sama-sama terlibat menggaji remaja bawah umur tersebut.
Kerajaan kemudian mendakwa syarikat-syarikat tersebut secara sedar dan telah melanggar akta Fair Labor Standards Act secara berulang kali dari 11 Julai 2021 sehingga 1 Februari 2022.
Jessica Looman dari Wage and Hour Division menyatakan adalah sesuatu yang mengejutkan bagi seorang remaja 13 tahun bekerja di barisan pemasangan di AS. Mereka akan berusaha menghentikan penggunaan tenaga kerja bawah umur dan memastikan kesemua majikan yang terlibat menerima hukuman yang sepatutnya.
Pendakwaraya Kementerian Buruh, Seema Nanda menambah yang syarikat tidak boleh berlepas tangan dengan mendakwa ia kesalahan syarikat yang membekalkan pekerja sedangkan mereka merupakan majikan kepada pekerja terbabit.
Nampaknya kedudukan Hyundai sekarang tidak begitu baik dalam situasi ini. Semoga akan menjadi pengajaran untuk syarikat lain di masa akan datang.