Buletin

OPERASI COVID-19. 5 ANGGGOTA POLIS CEDERA DIREMPUH LORI

Seorang pegawai dan empat anggota polis cedera dirempuh sebuah lori semasa melakukan sekatan jalan raya Operasi Covid-19 di Jalan Syed Putra di sini tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku semasa pegawai dan anggota terbabit hendak menutup operasi sekatan jalan raya untuk melakukan rondaan kira-kira jam 12.45 tengah malam itu.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 45 tahun itu hilang kawalan, sebelum terbabas ke kiri jalan lalu merempuh sekatan jalan raya, kereta peronda dan motosikal anggota polis terbabit.

“Pelanggaran itu turut menyebabkan seorang pegawai berpangkat Inspektor dan empat anggota berpangkat Koperal, Lans Koperal serta Konstabel cedera. Mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa dari JSPT Kuala Lumpur itu kini dirawat di zon Hijau dan kuning HKL.

“Siasatan masih dijalankan dan pemandu lori itu telah ditahan untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Sinar Harian

Tags
Google ads
Back to top button