Buletin

FORD RANGER STORMTRAK MENDARAT DI THAILAND. 207HP, HARGA BERMULA RM161K

Selepas mendedahkan Wildtrak X di Australia dan Eropah, Ford kini memperkenalkan versi baharu Ranger, Ford Ranger Stormtrak untuk pasaran Thailand.

Muncul dengan spesifikasi tinggi, perbezaan antara Wildtrak X dan Stormtrak bagaimanapun tidak begitu ketara.

Sebaliknya, ia hanya terhad kepada aspek visual sahaja selain tidak didatangkan bersama suspensi , tayar off-road, perlindungan bawah badan serta elektronik tambahan seperti Wildtrak X.

Stormtrak menampilkan LED tambahan baharu di bahagian gril berbentuk X dan diserlahkan dengan rim aloi bersaiz 20 inci.

Untuk rekod, Stormtrak tersedia dalam empat pilihan warna iaitu Arctic White, Meteor Grey, Absolute Black dan Sedona Orange.

Model ini dikemaskan dengan grafik hitam pada panel belakang dan aksen merah. Bahagian luaran yang menarik perhatian antaranya sports bar jenis fleksibel yang boleh dilungsurkan ke hadapan atau belakang.

Di dalam kabin, ia dipadan aksen merah-hitam untuk memberikan nuansa garang. Sementara tempat duduk pula dibalut kulit jenis suede Miko. Perincian lain termasuklah instrumen digital 12.4-inci, skrin sentuh infotainmen 12-inci, brek kawalan elektronik dan sebagainya

Dari segi keselamatan, Ranger Stormtrak mempunyai sistem ADAS termasuklah Adaptive Cruise Control, Active Park Assist serta kamera 360 darjah.

Ranger Stormtrak dikuasakan oleh enjin diesel turbo 2.0 liter EcoBlue bi-turbo yang berupaya menghasilkan 207hp pada 3,750rpm dan tork 500Nm antara 1,750 hingga 2,000rpm.

Enjin itu dipadankan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan yang menghantar kuasa ke belakang atau keempat-empat roda.

Ranger Stormtrak boleh dimiliki pada harga AS$36,755 (RM161,942) untuk RWD, manakala versi 4WD pula berharga AS$40,680 (RM179,236).

GALERI:

Google ads
Back to top button