AUDI Q8 e-TRON 50, KERETA ELEKTRIK PILIHAN IRONMAN
Model e-Tron adalah model yang sudah lama diilhamkan oleh Audi semenjak dari tahun 2015 lagi sebagai model konsep SUV elektrik. Ia akhirnya dipamerkan sebagai model fizikal sebenar pada tahun 2018 selepas semua rekaan akhirnya dimuktamadkan dan mulai dijual pada tahun 2019.
Untuk model Audi Q8 e-tron ini, ia adalah model yang telah melalui proses naiktaraf dengan harga jualan mencecah RM 385,000. Audi mengambil peluang untuk memasarkan semua kenderaan mereka melalui filem francais Ironman, menggambarkan Audi Q8 sebagai kereta elektrik sarat dengan teknologi terkini dan termaju
Walaupun masih lagi menggunakan imej korporat yang sama iaitu Audi Single Frame Grille, namun untuk SUV elektrik ini jeriji depan dilingkari dengan rekaan krom hitam berkilat. Sebagai perbandingan, kebanyakan kenderaan Audi yang menggunakan enjin petrol menggunakan jeriji depan dengan kemasan krom
Dibina dengan menggunakan platform MLB Evo 8, jarak antara roda ditetapkan pada 2928mm manakala lebar Audi Q8 e-tron ini menjangkau 1937mm serta panjang keseluruhan adalah 4915mm. Ini meletakkan Q8 e-tron berada di tengah-tengah antara Mercedes Benz EQC yang kecil sedikit dan juga BMW iX yang lebih besar
Namun berbeza dengan kedua model di atas yang menggunakan platform skateboard baru untuk EV, Q8 e-tron berkongsi platform dengan model yang menggunakan enjin petrol seperti Volkswagen Toureg, Lamborghini Urus dan juga Porsche Cayenne
Rekaan bampar depan serta lampu depan datang dengan garisan tajam yang cukup agresif, rim 20 inci khas untuk kereta elektrik yang nampak kena dengan gaya Audi Q8 serta disudahkan dengan lampu belakang yang melintangi ruang kargo di bahagian belakang. Secara keseluruhan gaya rekaan Q8 e-tron cukup sofostikated.
Apabila anda membuka pintu depan, anda akan terpesona dengan gaya dan rekaan Audi terutama di bahagian kokpit, papan pemuka dan konsol tengah yang cukup menawan dan terasa mahal. Ia bukanlah rekaan orang malas seperti Tesla, sebaliknya dihasilkan dengan lekukan, papn pemuka bertingkat dan tombol gear yang cukup unik
Skrin Audi Virtual Cockpit sebesar 12.3 inci diposisikan di bahagian tengah dan ditemani dengan butang fizikal yang mudah dicapai seperti butang Lane Departure Watch, Lampu Utama serta paddleshifter (atau brek regeneratif)
Walaupun tidak menggunakan pembesar suara daripada jenama premium, tetapi kualiti bunyi yang dihasilkan adalah setara dengan jenama Bose ataupun Harman Kardon. Jelas, lunak dan bass yang dihasilkan terasa cukup padu.
Skrin ini akan mengawal semua paparan utama, menyediakan sambungan Apple Car Play dan Android Auto lengkap dengan ciri heptic response iaitu gegaran halus pada permukaan. Skrin di bawah pula adalah khusus untuk kegunaan penyaman udara sebesar 8.6 inci manakala paparan meter digital 10 inci pula berada di belakang stering lengkap dengan ciri penunjuk arah
Memandu pada waktu malam pula membuatkan anda terasa cukup mewah dan puas hati dengan harga yang dibayar, dengan ruang kabin sarat dengan lampu LED memberikan pencahayaan melap dengan 64 pilihan warna. Lampu ini bukan sahaja berada di papan pemuka tetapi turut dipasang di kemasan pintu, konsol tengah, ruang meletak minuman dan juga pendakap tali pinggang untuk memudahkan pengguna
Walaupun di atas kertas jarak antara roda adalah besar, tetapi kebanyakan kereta Continental menawarkan ruang yang “biasa sahaja” di ruang belakang. Namun dari segi kelengkapan, adalah sukar untuk menandingi apa yang ditawarkan oleh Audi seperti penyaman udara 4 zon, corong penyaman udara di tiang B dan konsol tengah dan juga 2 poin USB jenis C.
Audi Q8 e-tron advanced 50 Quattro iaitu varian yang dipandu uji oleh kami ditawarkan dengan bateri sebesar 95kWh dengan jarak pemanduan sejauh 491km untuk satu pengecasan penuh. Ia boleh dicaj dengan menggunakan pengecasan AC 11kW yang mengambil masa 9 jam 15 minit dari 0-100%.
Atau jika di lebuh raya anda boleh menggunakan sistem pengecasan pantas DCFC 150kW yang memerlukan masa 28 minit untuk mengecaj dari 10% ke 80%. Varian Advance 50 diberikan 2 motor elektrik (Quattro) yang menjana sehingga 335 kuasa kuda dan 664Nm tork.
Jika anda mahu, ia boleh memberikan pecutan 0-100km/jam dalam masa 6 saat sebelum kelajuan tertinggi dihadkan kepada 180km/jam. Berbeza dengan kereta elektrik lain, Audi menawarkan sistem gear 2 ratio dalam satu gear set untuk penggunaan tenaga yang lebih efisyen
Tetapi jika dibandingkan dengan jenama lain, penulis dapati pecutan yang dihasilkan oleh Audi Q8 e-tron adalah leboh lembut dan tidak agresif. Mungkin jika anda baru membeli kereta elektrik, anda suka menikmati pecutan keras setiap masa, namun pecutan agresif yang kerap akan mengurangkan jarak pemanduan
Penulis lebih suka pemanduan yang efisyen kerana malas untuk mengambil masa untuk mengecaj jika tiada keperluan mendesak dan pada kebanyakan masa semua proses pengecasan dilakukan di rumah dengan keupayaan menngecas mencapai 2.1kW walaupun menggunakan plug 3 pin.
Secara purata penggunaan tenaga adalah sekitar 24kWh bagi setiap 100km ataupun 1kWh membenarkan pemanduan sejauh 4.16km. Mode pemanduan yang ditawarkan adalah effiecient, dynamic, alldrive, ofroad ataupun automatic yang akan mengubah mode berdasarkan input sensor.
Setiap kali penulis menukar mode pemanduan, Q8 e-tron akan menukar tetapan ketinggian kenderaan dengan sistem “air suspension”. Mode efficient hanya menggunakan tetapan ketinggian tahap 1, automatic pada tahap 2 atau 3 manakala bagi mode offroad, ia akan ditinggikan pada tahap 5 serta sistem ESC ditala untuk pemanduan offroad.
Sebenarnya penggunaan sistem suspensi adaptif dengan “air suspension” membantu menawarkan spektrum operasi yang lebih baik kepada kereta elektrik. Dengan berat mencecah 2585kg, Audi Q8 e-tron adalah cukup berat dan jika menggunakan sistem penyerap hentakan pasif, maka ia menjadi kurang selesa.
Jika terlalu keras, maka Q8 e-tron akan melantun semasa melalui jalan tidak rata tetapi stabil pada halaju tinggi. Jika suspensi direka dengan lembut, SUV ini akan selesa pada halaju perlahan tetapi membuai pada halaju tinggi.
Penggunaan Adaptive Air Suspension menawarkan prestasi yang cukup seimbang, lembut pada halau perlahan, stabil pada halaju tinggi dan kurang olengan cesi ketika mengambil selekoh. Namun fizik tetap fizik, jika anda memandu terlalu laju ketika memasuji selekoh, inertia kenderaan akan cuba melemparkan Q8 ini ke arah luar
Dari segi operasi brek, pertukaran dari brek regeneratif kepada brek biasa adalah lancar dan meyakinkan. Namun ia tidak menawarkan ciri “One Pedal Operation”, tetapi penulis jarang sangat menggunakan sistem ini. Penulis lebih gemar mengawal kekuatan brek regeneratif dengan menggunakan paddleshifter.
Diameter stering sedap untuk digenggam selain menawarkan butang fizikal yang amat mudah untuk digunakan. Sistem stering juga direka dengan ratio yang pendek, memerlukan anda memulas 1.4 pusingan sahaja untuk pusingan maksimum ke kiri atau kanan.
Dari segi aspek keselamatan, Audi Q8 e-tron juga ditawarkan dengan sistem lengkap dan terikini merangkumi 8 beg keselamatan, sistem Audi Pre-Sense yang merangkumi brek AEB di depan dan belakang, kamera 360 darjah, sistem amaran papan tanda yang akan menghantar isyarat memperlahankan kelajuan apabila menghampiri selekoh serta ciri Park Assist
Pendek kata penulis rasa memang berbaloi dengan semua ciri keselamatan yang ditawarkan. Cuma dengan harga sebegini, Audi Q8 e-tron patut ditawarkan dengan kusyen depan lengkap dengan ciri pengudaraan serta ciri urutan. Ruang kabin dalaman pun tidaklah besar seperti CR-V
Namun dari segi kecekapan penggunaan tenaga, Audi Q8 tidaklah secekap kereta elektrik daripada negara China yang jauh lebih murah. Namun dengan harga RM 385,000 serta 2 tahun jaminan lengkap dengan sistem suspensi adaptif, penulis rasa ia adalah harga yang munasabah, lagi berbaloi dari Audi A3 dengan harga sekitar RM 310,000
Namun jika anda mampu membeli, pastikan anda mengambil pakej Audi Assurance Package dengan jaminan 5 tahun pada harga RM 397,000. Harga ini adalah termasuk 5 tahun bantuan kecemasan, jaminan bateri dan trenkuasa selama 8 tahun atapun 160,000km perjalanan