
VESPA EDISI CHRISTIAN DIOR, HADIAH ISTIMEWA BUAT KEKASIH
Vespa merupakan nama yang tidak perlu dikenalkan dalam dunia skuter. Pemilik jenama dari Itali, Piaggio telah berkecimpung dalam pembuatan skuter sejak selepas perang Dunia Kedua lagi.
Bahkan, syarikat ini merupakan antara yang paling inovatif apabila melibatkan reka bentuk jentera mereka.
Selain menjadi medium pengangkutan, Vespa telah berkembang menjadi ikon aksesori fesyen sejak sekian lama terutama di pusat fesyen seperti Paris, Perancis dan Roma, Itali.

Sejak 1946 yang merupakan tahun kelahiran jentera comel ini. Lebih 20 juta unit skuter telah dihasilkan dan menjadi salah satu aksesori yang ingin dimiliki di seluruh dunia.
Minggu lalu, Vespa telah mengumumkan kerjasama dengan jenama fesyen terkenal yang berpangkalan di Perancis, Christian Dior. Kerjasama yang dijalin bertujuan untuk mencipta semula semangat kebebasan, pergerakan dan ekspresi.
Ia juga bagi mengukuhkan lagi imej Vespa sebagai jentera dua roda yang bergaya di dunia.
Kerjasama itu akan dilaksanakan pada awal tahun 2021 dengan kemunculan edisi khas model Vespa 946 yang direka oleh Pengarah Kreatif Dior, Maria Grazia Chiuri.

Vespa 946 merupakan antara model paling laku pada masa kini. Skuter edisi khas itu akan menampilkan seni bina monohull dan garisan grafik halus bagi memberi penghormatan kepada dua jenama terkenal ini.
Ia akan didatangkan bersama rekaan motif Dior Oblique serta helmet yang mempunyai rekaan sama. Vespa ini amat sesuai dijadikan hadiah untuk orang tersayang pada tahun hadapan.
Bagaimanapun, syarikat dari Itali itu tidak memaklumkan harga jualan bagi Vespa edisi khas Christian Dior tersebut. – autoevolution