Artikel Pilihan

AUDI SQ7 ADA SISTEM ANTI OLENG AKTIF

Baru – baru ini kami menaikkan artikel bagaimana Audi menghapuskan masalah turbolag pada enjin mereka dengan menggunakan kipas ataupun dalam bahasa teknikal sistem supercaj yang berkuasa elektrik. Kuasa elektrik tersebut datang dari sistem bekalan kuasa 48 volt. Untungnya dengan sistem kuasa yang besar ini membolehkan Audi menggunakannya untuk aplikasi lain.

Artikel kali ini akan membincangkan bagaimana Audi menghapuskan masalah olengan cesi ketika melalui selekoh dengan menggunakan sistem anti oleng aktif berkuasa elektrik. Untuk nota, masalah olengan cesi biasa berlaku ketika kereta mengambil selekoh. Katakan jika kereta mengambil selekoh ke kanan, daya emparan akan wujud dan bertindak pada pusat graviti kereta.

Daya emparan ini akan bertindak dari arah dalam selekoh ke arah luar menyebabkan kereta seolah-olah terangkat di sebelah kanan dan senget di sebelah kiri. Jika daya ini terlalu kuat, ia akan mengganggu dinamik pergerakan kereta samaada menjadikan kereta terlibat dengan understeer ataupun oversteer. Malah penumpang belakang tak best juga kalau tengah-tengah selekoh kereta senget ke tepi.

Jadi sebagai sebuah flagship, Audi memperkenalkan sistem Anti Oleng Aktif pada crossover flagship mereka iaitu Audi SQ7. Alang-alang dah pakai sistem elektrik 48 volt bagi memberikan kuasa pada sistem supercaj elektrik, ia juga bertindak membekalkan kuasa kepada 2 unit motor elektrik sebesar 1.5kW yang dipasang pada gandar depan dan belakang crossover ini.

Jadi semasa melalui selekoh, sisi kiri SQ7 akan rapat ke tayar dan sisi kanan pula akan menjauhi tayar. Input pada sistem akan diperolehi melalui unit sensor pada sistem stering dan juga sensor halaju kenderaan. Sensor ini akan mengesan perubahan pada input stering dan juga sensor halaju bagi menentukan berapa banyak tork yang harus dihasilkan oleh motor elektrik.

Kesemua data dari sensor ini akan dihantar kepada Central Chassis Control Unit. Unit ini akan memproses semua data dan menghantar isyarat kepada motor elektrik yang berupaya menghasilkan tork maksima setinggi 1200Nm. Motor ini juga ada sistem planetary gear yang tersendiri dengan nisbah 1:200. Memang besar tork yang boleh digandakan oleh sistem motor ini.

Sebaik sahaja isyarat dihantar dari Central Chassis Control kepada motor elektrik, motor akan menjana tork (ataupun twisting force) yang akan digandakan oleh sistem gear bagi melawan balik daya emparan yang menyebabkan cesi menjadi senget. Tork ini akan melalui bar anti oleng dan membantu penyerap hentak melawan daya emparan tad

Pada masa yang sama, wujud satu lagi tork pada bar anti oleng sebelah kanan yang akan menarik cesi sebelah kanan daripada terangkat menjauhi tayar. Sekali sistem ini bertindak, motor akan hasilkan tork. Sebelah kiri tolak, sebelah kanan tarik. Hasilnya cesi akan menjadi stabil dan rata ketika selekoh. Walauwehh.

Ingat ada 2 motor pada crossover SQ7 ini. Satu di depan, satu di belakang. Kedua dua motor boleh mengubah kekerasan atau ketegaran bar anti oleng di bahagian depan dan belakang secara individu. Yang paling menarik ialah ketegaran ini boleh diubah sewaktu memandu.

Jika ketegaran bar anti oleng ini boleh diubah, ia akan mengubah banyak mana beban yang akan diterima oleh tayar di sebelah kiri dan kanan Audi SQ7 ini. Jika bar anti oleng di bahagian depan dibuat terlalu tegar, maka crossover ini akan cenderung mengalami understeer. Ia disebabkan tayar depan kiri (jika kereta membelok ke kanan) terlalu banyak menerima beban

Sebaliknya, jika gandar belakang ditetapkan dengan bar anti oleng yang terlalu keras, crossover ini akan mengalami oversteer. Ia disebabkan tayar belakang kiri (sewaktu membelok ke kanan) menerima terlalu banyak beban berbanding kanan. Ia akan kehilangan cengkaman dan mulai terbabas.

Disebabkan bar anti oleng SQ7 boleh diubah ketegarannya melalui motor elektrik, pemandu boleh mengubah dinamik pemanduan SQ7 walaupun semasa memandu. Kalau nak buat ia bersifat understeer sikit, keraskan bar anti oleng di bahagian depan.

Kalau nak pemanduan mencabar dan mungkin nak layan drift, keraskan bar anti oleng dibahagian belakang. Kalau nak SQ7 dipandu secara normal, setkan ketegaran bar anti oleng supaya ia bersifat neutral. Dah tak payah nak ke bengkel nak buat tetapan sistem suspensi. Jimat masa pemilik SQ7 ni.

Google ads
Back to top button