Artikel Pilihan

AUSTRALIA SELATAN PERKENALKAN LESEN KHAS SUPERCAR DAN DENDA LEBIH TINGGI UNTUK PEMANDUAN BERBAHAYA

Pemandu-pemandu kenderaan berkuasa tinggi (ultra high-power vehicle ataupun UHPV) kini dikehendaki memohon lesen khas untuk memandunya selain dilarang mematikan fungsi ESP semasa memandu di jalan raya.

Peraturan baharu yang bakal dikuatkuasakan bermula 2024 diluluskan selepas cadangan mengenainya timbul berikutan kemalangan maut seorang remaja berusia 15 tahun yang dirempuh oleh sebuah Lamborghini Huracan ketika berjalan di hadapan sebuah restoran.

Memandangkan peraturan tersebut sudah diluluskan, pemandu-pemandu supercar seperti Huracan kini mesti memohon lesen ‘U’ untuk memandunya di jalan raya. Dikatakan 200 model kenderaan akan dimasukkan ke dalam kategori ini.

Peraturan baharu menetapkan kenderaan dengan berat keseluruhan kurang dari 4,500 kg dan mempunyai nisbah kuasa kepada berat lebih dari 370hp/tan sebagai UHPV. Bas dan motosikal dikecualikan dari peraturan ini.

Sebagai rujukan Lamborghini Huracan dengan nisbah kuasa kepada berat 391hp/tan dilabelkan sebagai UHPV manakala BMW M3 dengan nisbah 298hp/tan tidak memerlukan pemandu memohon lesen U. Senang kan? Sebab abang pakai Miata dik.

Individu yang ingin memohon lesen U mesti mengikuti kursus latihan atas talian yang sedang dibangunkan. Ia bertujuan untuk menyedarkan pemandu-pemandu terbabit akan risiko yang berkait dengan kawalan kenderaan ini. Dah namanya berkuasa tinggi takkan la sama dengan Kancil nenek abang pandu ke masjid.

Sebagai tambahan, pemandu UHPV wajib memastikan ciri keselamatan seperti ABS, traction control, stability control sentiasa dalam keadaan ‘ON’. Jika mereka dengan sengaja mematikannya sewaktu memandu di jalan raya awam, mereka akan dikenakan sama sehingga AUD5,000 (RM14,980)! Pergh, ini baru betul punya denda. Silap-silap kena ambil pinjaman peribadi nak bayar.

Akhir sekali pihak berkuasa juga dalam proses untuk menaikkan lagi hukuman dan denda kepada pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut. Antaranya ialah meminda hukuman penjara dari 12 bulan ke 5 tahun untuk pertuduhan melibatkan kemalangan maut.

Jika kemalangan itu berpunca dari kelalaian pemandu seperti mabuk ataupun di bawah pengaruh dadah, hukuman akan dinaikkan kepada penjara tujuh tahun dan lesen memandu digantung selama tiga tahun terus.

Rasa-rasa setanding tak dengan hukuman kesalahan sama di negara kita?

Google ads
Back to top button