
CUKAI JALAN FIZIKAL MASIH DIKELUARKAN, MOT ARAH JPJ TURUN NOTIS
Keputusan menghentikan pengeluaran lesen kenderaan motor (LKM atau cukai jalan) secara fizikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan keputusan dasar Kementerian Pengangkutan (MOT).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau juga sudah mengarahkan JPJ supaya notis menghentikan pengeluaran berkaitan LKM fizikal itu diturunkan segera.
Beliau berkata, buat masa ini, cukai jalan fizikal itu masih dikeluarkan JPJ cuma berlaku kekurangan stok di beberapa cawangan menyebabkan ia dihentikan buat sementara.

“Kami masih mengeluarkan cukai jalan fizikal, namun secara pilihan kepada pelanggan yang masih mahu menggunakannya.
“Kami belum menghentikan pengeluaran cukai jalan fizikal itu dan belum ada tarikh lagi untuk itu. Kita mungkin akan beralih kepada digital sepenuhnya dalam tempoh enam bulan ke setahun lagi,” katanya.
Katanya, kajian dilakukan mendapati, tidak sampai 30 peratus pemohon beralih kepada cukai jalan digital dan lebih 70 peratus lagi pemohon memilih untuk menggunakan cukai jalan fizikal.
Loke berkata, beliau juga hairan kenapa orang ramai masih mahu menggunakan cukai jalan fizikal sedangkan sebelum ini mereka merungut ia cepat rosak.
“Saya rasa pelik, dulu mengadu tidak bagus dan mudah koyak. Saya tidak marah cuma ia terpulang kepada rakyat. Buat sementara waktu, kami masih keluarkan cukai jalan fizikal namun, bila tiba masanya ia akan dihentikan,” jelas beliau.
Sebelum ini, tular notis bahawa JPJ tidak lagi mengeluarkan cukai jalan fizikal berkuat kuasa semalam dan notis itu dipaparkan di beberapa cawangan agensi itu. – The Star
- BACA: WANITA BENGANG KENA SIDAI TIGA JAM GARA-GARA DOUBLE PARK
- BACA: PENGGUNA LEBUHRAYA MEX KINI BOLEH BAYAR TOL GUNA KAD KREDIT, DEBIT
- BACA: BERMULA 15 SEPTEMBER, SATU UJIAN TEORI SAJA UNTUK PEROLEH LESEN MOTOSIKAL, KERETA
- BACA: JALAN SUNGAI BESI ARAH SELATAN DITUTUP BERMULA SABTU INI HINGGA OGOS 2024







