Buletin

AVATR 011 DILANCARKAN DI THAILAND – DUA VARIAN, JARAK GERAK 680KM, HARGA BERMULA RM268K

Changan Automobile, syarikat automotif milik negara China, telah melancarkan model SUV coupe, Avatr 011 di Thailand.

Di Thailand, Avatr 011 ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard Range dan Long Range. Harga bagi model ini bermula dari 2,099,000 baht (sekitar RM268,000) hingga 2,299,000 baht (sekitar RM291,000).

Dari segi reka bentuk luaran, Avatr 011 menonjol dengan profil sporty, bumbung rendah, rekaan tingkap belakang unik, serta spoiler aktif.

Varian Standard Range dilengkapi rim aloi dua tona bersaiz 21-inci, manakala Long Range hadir dengan rim aloi multi-jejari bersaiz 22-inci.

Bahagian dalaman Avatr 011 menampilkan rekaan moden termasuk tiga paparan skrin – satu kluster instrumen 10.25-inci, skrin sentuh tengah 15.6-inci, dan satu lagi skrin sentuh 10.25-inci untuk penumpang hadapan.

Selain itu, sistem audio premium dengan 25 pembesar suara Meridian adalah standard untuk semua varian.

Tempat duduk hadapan juga dilengkapi dengan fungsi ottoman, serta dilapisi kulit Nappa premium, selain mempunyai bumbung panoramik.

Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang sahaja, dengan kuasa 313hp dan 370Nm tork.

Walaupun menggunakan motor yang sama, varian Standard Range mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, manakala varian Long Range mencatatkan masa 6.6 saat.

Kedua-dua model ini mempunyai kelajuan maksimum 200 km/j. Perbezaan utama terletak pada kapasiti bateri, di mana Standard Range dilengkapi dengan bateri 90.38kWh yang memberikan jarak gerak sehingga 575km, manakala Long Range dengan bateri 116.79kWh mampu mencapai jarak 680km mengikut kitaran NEDC.

Avatr 011 dibina dengan seni bina 750 V yang membolehkan pengecasan DC pantas sehingga 240kW.

Varian Standard Range boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam masa 15 minit, manakala Long Range memerlukan 25 minit.

Dengan pelancaran Avatr 011, Changan jelas komited dalam membawa inovasi kenderaan elektrik mewah kepada pasaran antarabangsa, sambil memperkukuhkan kedudukan mereka di Thailand.

Google ads
Back to top button