Artikel Pilihan

BAGAIMANA KESELAMATAN KERETA DINILAI

Ketika penulis membawa isu berkenaan taraf keselamatan Ford Mustang bulan lepas, ada beberapa komen memberi idea yang kereta ini sebenarnya selamat kerana telah diuji oleh NHTSA (New Highway Transportation Safety Board) dan mendapat kelulusan 5 bintang. Ya ini kereta Amerika dan pihak yang mengujinya juga berpusat di Amerika jadi penulis berpendapat sudah tentu akan wujud keadaan berat sebelah

Jadi pada kali ini kita akan mengupas bagaimana sesebuah kereta diuji dan diberi penarafan berdasarkan bintang. Atau boleh ke pakai bulan? Jadi kita fokuskan pada New Car Assesment Program atau singkatannya NCAP.

NCAP memberikan penarafan keselamatan kepada sesebuah kenderaan berdasarkan ujian kemalangan yang dilakukan dalam keadaan terkawal, mengikut ketetapan yang digunapakai secara seragam, menilai peralatan keselamatan yang dipasang pada kenderaan dan juga sistem pengawasan pintar yang akan membantu pemandu mengelakkan kemalangan.

NCAP akan menilai bagaimana kereta tersebut memberi perlindungan pada penumpang dewasa, penumpang kanak-kanak, pejalan kaki serta sistem pengawasan pintar seperti brek pra-perlanggaran. Ford Mustang gagal mendapat markah penuh di bahagian akhir iaitu sistem keselamatan aktif. Pelik juga Amerika ini, pengganas boleh jejak, brek pra-perlanggaran pun tak boleh laksanakan. Malu kat Myvi beb.

Ujian Perlanggaran Fizikal

Bagi mendapatkan bagaimana cesi kereta bertindak, kereta tersebut perlu dilanggar, atau melanggar halangan yang telah ditetapkan oleh pihak NCAP. Patung dengan pelbagai alat pengesan akan digunakan untuk memungut seberapa banyak data iaitu daya yang diterima oleh tubuh manusia ketika perlanggaran berlaku. Semakin sikit daya yang diterima oleh tubuh manusia, semakin bagus kereta tersebut

Malah muka patung akan dicat dengan warna tertentu bagi mengesan corak hentaman pada beg udara ketika beg udara keselamatan berfungsi. Terdapat 3 jenis patung yang digunakan iaitu patung khas untuk hentaman hadapan, patung untuk hentaman sisi dan juga patung kanak – kanak yang mula diperkenalkan.

Ujian Hentaman Depan Offset 40%

Ujian ini melibatkan kereta melanggar halangan kepingan aluminium yang boleh remuk pada halaju 64km/j. Sudut hentaman pula ditetapkan pada 40% pada sebelah pemandu bagi memberi simulasi perlanggaran kereta yang sama saiz berlanggar antara satu sama lain.

Terdapat 4 patung ujian yang digunakan iaitu 2 patung ujian dewasa, 1 patung ujian kanak-kanak berumur 10 tahun dan satu lagi patung ujian kanak-kanak berumur 6 tahun. Dalam ujian ini kedua-dua patung kanak-kanak diletakkan dalam kerusi keselamatan

Ujian Hentaman Depan Penuh

Bagi ujian ini, kereta ujian akan dibiarkan menghentam dinding pada halaju 50km/j bagi menggambarkan jika kereta berlanggar dengan kereta lain yang sama saiz pada halaju yang sama. Terdapat 2 patung ujian yang digunakan iaitu satu patung di hadapan mewakili pemandu dan satu lagi patung mewakili penumpang

Ujian ini juga menggalakkan pengeluar untuk memasang pre-tensioner dan load limiter pada tali pinggang keselamatan hadapan dan juga belakang.

Ujian Hentaman Sisi

Ujian ini melibatkan kereta ujian yang akan dilanggar pada sudut 90 darjah iaitu pada sisi kereta bagi menguji kekuatan cesi dari sisi seperti rangka sokongan bumbung, lantai, pintu dan juga tiang B. Sebuah kerangka dengan berat 1300kg dan dipasang dengan boleh remuk akan menghentam sisi kereta pada halaju 50km/j.\

Perlindungan Pejalan Kaki

15% kes kemalangan maut melibatkan kereta melanggar pejalan kaki yang akan mengalami kecederaan pada bahagian muka, kaki dan juga kepala. Jadi pengeluar kereta perlu menghasilkan kereta yang meminimakan impak kecederaan dengan menghasilkan bampar depan, penutup enjin, tiang A dan juga cermin depan yang lebih baik dan memberi perlindungan pada pejalan kaki. Ujian ini dijalankan pada halaju 40km/j

Ujian Hentaman Sisi – Menggunakan Tiang

Berbeza dengan ujian hentaman sisi penuh, ujian ini dibuat bagi mensimulasikan keadaan kereta apabila berlanggar dengan pokok ataupun tiang lampu apabila terbabas. Halaju kereta ditetapkan pada 32km/j dengan sudut hentaman diselaraskan pada sudut 75 darjah

Simulasi ini akan menguji keupayaan beg udara sisi untuk melindungi pemandu dan juga penumpang dari kecederaan kepala dan badan dari bahagian sisi.

Ujian Hentaman Belakang

Ujian ini dibuat bagi menguji keupayaan kereta menghalang kecederaan kepala dan juga leher daripada berlaku sekiranya kereta dilanggar dari arah belakang. Kerusi kereta akan dicabut dan dipasang pada jig khas untuk simulasi perlanggaran

Sistem Keselamatan Aktif

Salah satu falsafah NCAP ialah untuk mencegah kemalangan daripada terjadi dengan menggunakan pelbagai sistem pintar yang akan membantu pemandu mengelakkan kemalangan daripada terjadi. Ia merangkumi sistem amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, sistem pemantauan pemanduan di lorong, dan juga sistem amaran kelajuan

Sistem Brek Pra-Perlanggaran

Sistem ini juga dipanggil dengan nama popular Automated Emergency Braking atau AEB yang berfungsi dengan bantuan kameradan juga sistem radar untuk mengesan halaju dan jarak kenderaan yang berada di hadapan. Sistem ini akan memberi amaran dan membrek secara automatik sekiranya terdapat kebarangkalian yang tinggi kemalangan akan berlaku

Malah sistem ini dipertingkatkan lagi dengan keupayaan untuk mengesan pejalan kaki dan juga penunggang basikal pada waktu siang dan juga malam. Ujian ini melibatkan sasaran yang statik, bergerak perlahan dan juga bergerak laju

Sistem Pengawasan Lorong

Lane Keeping Assist merupakan satu terma yang biasa digunakan oleh pengeluar untuk sistem ini. Sistem ini akan menggunakan kamera bagi mengesan garisan jalan dan akan mengeluarkan amaran bunyi, isyarat visual ataupun gegaran pada stering sekiranya pemandu menukar lorong tanpa memberi isyarat. Sistem yang aktif akan membetulkan semula stering pada kedudukan asal sekiranya pemandu tidak menghiraukan amaran yang dikeluarkan

Pemandu ujian akan sengaja memandu dengan menukar lorong tanpa memberikan lampu isyarat bagi menentukan bagaimana sistem kenderaan bertindak untuk mengelakkan halangan dan menghalang daripada kemalangan berlaku.

Untuk artikel seterusnya kita akan mengkaji ujian-ujian perlanggaran yang dibuat oleh Insurance Institute Highway Safety IIHS. Kalau rasa boring, mungkin kita boleh huraikan bagaimana khinzir berupaya berenang merentasi selat melaka

Tags
Google ads
Back to top button