
BANK AUSTRALIA ENGGAN TAWAR PINJAMAN UNTUK KENDERAAN ICE
Sebuah bank Australia menggalakkan pemandu beralih kepada EV dengan tidak lagi menawarkan pinjaman untuk pembelian kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) selepas tahun 2025.
Bank Australia yang memiliki 185,000 pelanggan berkata ia tidak lagi meminjamkan wang kepada orang ramai untuk membeli kereta berenjin pembakaran baharu, trak dan SUV kerana ia tidak mahu “membiarkan pelanggan kami terlibat dalam pelepasan karbon yang lebih tinggi selain kos operasi yang semakin mahal.”
Tetapi bank itu mengakui masih akan menawarkan pinjaman untuk kereta ICE terpakai kerana sedar tidak semua orang mampu membeli EV baharu.

“Pengumuman hari ini adalah pemberitahuan awal kepada pelanggan dan isyarat kepada pasaran jika anda mempertimbangkan untuk membeli kereta baharu, anda harus memikirkan secara serius tentang kenderaan elektrik, baik untuk kesannya terhadap iklim dan sepanjang hayatnya serta penjimatan kos,” kata Ketua Pegawai Impak Bank Australia, Sasha Courville.
Warga Australia dilihat enggan beralih kepada EV, tetapi jualan kenderaan tersebut dilihat semakin meningkat. Hanya 20,665 kereta elektrik dijual di Australia tahun lepas, bersamaan dengan 2 peratus daripada pasaran kereta baharu atau 9 peratus di seluruh dunia.
Daripada kereta elektrik yang dijual di Australia, Tesla Model 3 adalah yang paling popular, menyumbang lebih daripada 12,000 jualan.
Kerajaan Australia didakwa lambat dalam memperkenalkan jenis kecekapan bahan api dan piawaian pelepasan emisi yang sudah diamalkan di pasaran maju lain. Menurut Institut Australia, situasi itu menyebabkan pemandu perlu membelanjakan sehingg RM18.4 ($4.1 bilion) untuk penggunaan bahan api yang tidak perlu.
Australia mengharamkan penjualan kereta petrol dan diesel baharu di ibu negaranya mulai tahun 2035.
- BACA: KUALITI JALAN DI MALAYSIA LEBIH BAIK DARIPADA SWEDEN, KANADA, AUSTRALIA DAN BRITAIN
- BACA: AUSTRALIA MAHU SEMUA KERETA BAHARU ADA CIRI KESELAMATAN TAMBAHAN APABILA BANJIR
- BACA: PERMINTAAN TERLALU TINGGI, TOYOTA HENTI TEMPAHAN LAND CRUISER 70 DI AUSTRALIA
- BACA: HILUX SELAMBA REDAH SUNGAI PENUH BUAYA DI AUSTRALIA








