Buletin

BARU TAHU TERBELI KERETA BANJIR SELEPAS HANTAR UNTUK DICUCI

Seorang pelanggan tidak sedar sudah terbeli kereta banjir dan hanya mengetahui setelah kereta itu diperiksa oleh seorang tukang cuci kereta.

Menerusi perkongsian di laman TikTok taukeycuci memaparkan seorang pelanggannya datang ke kedai untuk mencuci kereta.

Namun setelah diperiksa dan dibuka aksesori kereta itu, difahamkan kereta tersebut adalah kereta yang pernah tenggelam banjir malah pelanggan itu juga dipercayai tidak sedar terbeli kereta banjir.

Video berdurasi 56 saat itu juga menunjukkan besi di bawah tempat duduk kereta tersebut sudah berkarat akibat ditenggelami banjir.

Rata-rata orang ramai meluahkan rasa simpati terhadap pemilik kereta tersebut dan diharap pembeli lain lebih berhati-hati unutk membeli kereta terpakai.

“Kasihannya dekat pembeli itu, kereta pun lawa lagi, harap-harap tiada masalah apa-apa dekat enjin kereta dia,” tulis [email protected]

“Memang banyak sekarang kereta terpakai yang terkena banjir di jual di pasaran terpakai, hati-hati,” kata pnnyawi.

Sementara itu, M4L4y514N P4r4N0rM4L 4ct1v1ty memberitahu cara paling mudah untuk mengetahui kereta itu adalah kereta banjir ialah di tali pinggang kereta tersebut.

“Boleh juga periksa di tali pinggang, tarik sampai habis tali pinggang, boleh kesan corak-corak air masih melekat di situ,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button