Buletin

BAS LAMA DIBIKIN JADI MAKMAL STEM

Pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah tidak mensia-siakan bas yang ingin dilupuskan apabila membikin kenderaan terbabit menjadi makmal sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Guru Besar Mohd Nizam Saidin berkata, idea itu timbul selepas mengetahui Universiti Utara Malaysia (UUM) mahu melupuskan bas lama sebelum pihaknya memohon mendapatkan bas itu secara percuma, Januari lalu.

“Permohonan kami diterima sebulan selepas itu, namun proses menunda menghadapi sedikit masalah apabila lori penunda tiba di pagar masuk kerana jalan sekolah agak sempit menyebabkan kenderaan itu tidak dapat masuk ke dalam sekolah.

“Guru kemudian beramai-ramai menolak bas masuk ke dalam sekolah sehingga pakaian basah berpeluh, namun semuanya dilakukan demi memastikan murid mendapat pendedahan STEM,” katanya.

Mohd Nizam berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kos bagi mengubah suai bas itu berikutan ia ditampung hasil jualan beberapa alat ganti bas yang masih dalam keadaan baik.

Katanya, 26 guru kemudian bertungkus-lumus melakukan kerja ubah suai kenderaan itu sejak Februari lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka terpaksa melakukannya secara bergilir.

“Setiap hari hanya dua atau tiga orang guru dibenarkan melakukan tugas itu. Mereka dibahagi mengikut tugas dan kemahiran masing-masing, ada yang ditugas mengecat dan mengubah suai kerusi serta lantai bas.

“Kemudian kami membeli peralatan STEM serta memasang pendingin hawa menggunakan hasil jualan alat ganti bas. Walaupun keseluruhan proses mengambil masa agak lama, namun segalanya berjalan lancar,” katanya.

Mohd Nizam berkata, selepas lapan bulan makmal STEM yang dinamakan Kemara STEM Lab dilengkapi pelbagai peralatan menarik bagi membentuk minda STEM dalam kalangan murid sekolah luar bandar.

Katanya, antara peralatan STEM berkenaan adalah teropong teroka alam, mikroskop, alatan pemacu intraktif, alatan sains uji minda serta alat lain yang mampu menguji minda murid pra sekolah hingga Tahun Enam.

“Menjadi harapan saya agar makmal STEM ini akan melonjakkan semangat murid menceburi subjek STEM apabila di sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat tertinggi.

“Ia seiring dengan keperluan negara yang mahu melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang ini, kami juga bercadang untuk membenarkan murid sekolah lain melawat makmal ini apabila waktu yang sesuai nanti,” katanya. –HM

Google ads
Back to top button