Buletin

BAS PASUKAN REAL MADRID KENA ‘SERANG’ SEBELUM SINGKIR LIVERPOOL

Tingkap bas pasukan Real Madrid dipecahkan sebelum pertembungan gergasi Sepanyol itu dengan Liverpool dalam saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan mereka yang merosakkan bas pasukan Real Madrid selepas tiba di Anfield semalam. Tindakan ganas ini sama sekali tidak boleh diterima dan memalukan daripada beberapa individu,” kata Liverpool dalam satu kenyataan.

“Kami meminta maaf kepada tetamu kami di atas kerosakan yang dilakukan. Kami akan memberikan kerjasama penuh dengan Polis Merseyside bagi menyiasat dan mengenal pasti mereka yang bertanggung jawab.”

Perlawanan itu diadakan tanpa kehadiran penonton susulan peraturan ketat pandemik Covid-19.

Tiga tahun lalu beberapa cermin tingkap bas pasukan Manchester City turut pecah selepas terkena lontaran tin minuman dan botol sebelum bermula aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara.

Pada aksi pagi tadi Liverpool dan Madrid seri 0-0 dan gergasi Sepanyol itu mara ke separuh akhir dengan agregat 3-1. – agensi

Google ads
Back to top button