
MARC MARQUEZ NAK PULANGKAN GAJI 2020. HONDA CAKAP TAK PAYAH
Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez dilapor menawarkan untuk memulangkan gajinya kepada Honda untuk musim 2020 kerana hanya sempat berlumba sekali di litar Jerez.
Walaupun Hasrat itu dilihat cukup baik, Honda bagaimanapun menolak idea tersebut. Marquez telah menandatangani kontrak pada awal tahun 2020 yang menyaksikan Honda akan menggunakan khidmatnya sehingga 2024.
Dengan kontrak berkenaan, pelumba kelahiran Sepanyol itu sudah bersama pasukan Honda selama 11 musim. Nasib tidak menyebelahi Marquez apabila terpaksa menjalani beberapa pembedahan bahu sejak Julai yang membuatkannya tidak cergas untuk berlumba sepanjang tahun lalu.
Beberapa minggu kebelakangan ini, timbul laporan wujud sedikit pergeseran di antara Marquez dan Honda. Jadi, kedua-dua pihak kini sedang berusaha untuk meredakan keadaan serta mahu kerjasama yang sedia terjalin kekal positif.
Jika kita tahu mentaliti orang Jepun, penolakan tawaran daripada Marquez sememangnya boleh difahami dengan mudah. Honda faham tentang komitmen yang diberikan oleh pelumba berkenaan dan inisiatif Marquez untuk memulangkan gajinya pasti dihargai oleh pasukan pengurusan Honda.
Memang agak mustahil untuk Marquez kembali mengemudikan jenteranya pada sesi latihan di litar Losail, Qatar bulan depan. Namun, majoriti pemerhati menjangkakan dia akan mula beraksi pada pengujung separuh kedua musim perlumbaan 2021.
Jadi, Repsol Honda akan diwakili oleh pelumba baharunya, Pol Espargaro dan Stefan Bradl. Namun, Honda tahu bahawa hanya Marquez yang mampu menang dengan jenteranya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Honda seperti kurang kompetitif dalam MotoGP sejak ketiadaan Marquez. Kini, harapan terletak pada Espargaro untuk melihat secepat mana dia boleh menyesuaikan diri dengan jentera baharunya itu.
- BACA: EKZOS JENTERA REPSOL HONDA MOTOGP MARC MARQUEZ UNTUK DIJUAL. RM13K JE, ASAL BARANG JADI DUIT
- BACA: PENANGGUHAN MOTOGP BERI KELEBIHAN KEPADA APRILIA, HONDA DAN MARQUEZ – DUCATI
- BACA: MARC MÁRQUEZ TAMBAH 4 TAHUN KONTRAK BERSAMA HONDA RACING CORP.!
- BACA: JENTERA HONDA RC213V DIBINA HANYA UNTUK MARQUEZ? INI JAWAPAN BOS REPSOL HONDA MOTOGP