Buletin

BELI TOYOTA YARIS GRMN SETENGAH JUTA DEMI KEPUASAN. KAU MAMPU?!

Toyota GR Yaris sememangnya mengagumkan sehingga seorang peminat Toyota GR Yaris sanggup membeli model Yaris GRMN edisi terhad pada harga AS$140,000 (RM594,230), dua kali ganda berbanding harga asalnya.

Toyota hanya menghasilkan 500 unit GRMN dengan menawarkan Pakej Litar atau Pakej Rali. Di Jepun, Yaris GRMN (Pakej Litar) dijual pada harga AS$65,021 (RM275,981).

Pakej Litar Yaris GRMN yang dijual dalam lelongan itu dicat dengan warna Matte Steel, warna yang dihadkan pada hanya 50 unit. Lebih menarik lagi, Yaris GRMN itu hanya dipandu sejauh 66km sahaja.

Beberapa peningkatan yang kita boleh lihat pada GRMN Yaris termasuklah tempat duduk belakang ditanggalkan dan dipasang dengan hud gentian karbon.

Bukan itu sahaja, Toyota telah menambah bilangan kimpalan titik (spot welds) sebanyak 545 berbanding kereta standard untuk meningkatkan ketahanan badan.

Model Pakej Litar ditampilkan dengan rim BBS 18-inci dan dilengkapi brek yang lebih besar, penyerap hentak boleh laras Bilstein, skirting sisi lebih panjang, fascia hadapan baharu dan wing belakang gentian karbon.

Model Pakej Litar adalah 20kg lebih ringan berbanding model standard. Ia dikuasakan oleh enjin tiga silinder pengecas turbo 1.6 liter yang mampu menjana 268hp dan tork telah dipertingkatkan kepada 390Nm berbanding 370Nm sebelumnya. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Jadi, berbaloikah untuk anda melaburkan hampir setengah juta untuk mendapatkan kereta idaman, lebih-lebih lagi ia merupakan edisi terhad? Tepuk dompet tanyalah selera.

Google ads
Back to top button