
BREMBO BELI SYARIKAT BREK SEPANYOL J.JUAN RM365 JUTA
Pengeluar brek terkemuka dunia, Brembo baru-baru ini menandatangani perjanjian untuk membeli 100 peratus kepentingan syarikat pembuat brek Sepanyol, J.Juan.
J.Juan dianggarkan bernilai €73 juta (RM365 juta) dan bertanggungjawab membekalkan industri automotif dua serta empat roda selama lebih 55 tahun. Ia mempunyai dua kilang pengeluaran di Sepanyol dan China untuk menghasilkan master silinder, angkup, cakera dan hos brek.
Walaupuan J.Juan tidak dilihat sebagai peneraju dalam industri brek, tetapi produknya boleh didapati pada pelbagai jenama. Sebagai contoh, Triumph menggunakan hos J.Juan untuk beberapa model keluarannya. Moosikal elektrik Zero juga menggunakan brek daripada J.Juan.
Pembelian itu membolehkan Brembo merancakkan pertumbuhannya di peringkat global. Tetapi, apa yang membuatkan Brembo benar-benar berminat untuk membeli J.Juan ialah keupayaannya untuk menghasilkan hos sistem brek.
Pemilikan tersebut membolehkan Brembo menawarkan penyelesaian brek secara menyeluruh, selain potensi pengilangan yang mungkin memerlukan Brembo bertahun-tahun untuk membangunkannya.
“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan J.Juan ke dalam Kumpulan Brembo. Transaksi ini selari dengan strategi global selepas pemilikan SBS Friction di Denmark. Kami akan terus melabur demi mengukuhkan perniagaan motosikal kami,” kata Pengerusi Brembo, Alberto Bombassei.