Buletin

KILANG AUTOMOTIF TIDAK TERMASUK DALAM SENARAI PENGILANGAN, PEMBUATAN PERKHIDMATAN PERLU?

Kalau diperhatikan dengan teliti kenyataan akhbar dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kilang automotif tidak tersenarai dalam senarai perkhidmatan perlu dalam kategori pengilangan dan pembuatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, automotif termasuk dalam kategori perkhidmatan iaitu pembaikan dan penyelenggaraan sahaja.

Justeru, tidak dapat dipastikan sama ada industri automotif masih meneruskan operasi seperti biasa dalam pembuatan kenderaan-kenderaan mereka.

Antara pengilangan dan pembuatan yang tersenarai dalam kenyataan tersebut merupakan aeroangkasa termasuk MRO, makanan, minuman dan rantaiannya,pembungkusan dan percetakan, produk barangan rumah dan barang penjagaan diri.

Selain itu, penjagaan kesihatan dan perubatan, peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan peralatan keselamatan kebakaran, komponen untuk alat perubatan, elektrikal dan elektronik, minyak dan gas, seramik (seramik sebagai acuan bagi pembuatan sarung tangan).

Terdapat juga petrokimia dan produk petrokimia, produk kimia, mesin dan peralatan,besi dan keluli, tekstil (yang melibatkan pengeluaran PPE), sektor perabot dan pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api serta pelincir.

Menurut kenyataan berkenaan, keputusan kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi perlu (essential economic sectors) termasuk pengilangan dan pembuatan untuk beroperasi adalah bagi menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara, kemampanan perniagaan, mengelak kadar kehilangan pekerjaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia juga bagi memastikan rakyat terus mendapat akses keperluan asas dan kritikal sepanjang tempoh PKP.

Enam buah negeri yang dikenakan PKP merupakan pemacu aktiviti ekonomi utama negara dan penyumbang yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu 66.3 peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK. Negeri Selangor menyumbang kepada KDNK negara sebanyak 24.2 peratus, Wilayah Persekutuan (16.9 peratus), Johor (9.4 peratus ), Pulau Pinang (6.7 peratus ), Sabah (6.0 peratus ), dan Melaka (3.1 peratus).

Google ads
Back to top button