
PENGHANTAR MAKANAN LUAH RASA KECEWA DENGAN PELANGGAN T20. SANGGUP TIPU NAK DAPAT MAKANAN PERCUMA
Pelbagai risiko dihadapi oleh penghantar makanan sepanjang mereka menjalankan tugas. Selain risiko kemalangan, terdapat juga yang sampai hati sanggup prank atau menipu penghantar makanan dengan seribu satu cara.
Melalui hantaran di group Facebook ‘B40 Buat Perangai Apa Harini’, seorang penghantar makanan meluahkan kekecewaannya dengan sikap segelintir pelanggan.
“Hari ni aku bukan nak cerita fasal B40 (Below 40), tetapi T20. Aku hanya rider food saja. Dah dua hingga tiga kali terjadi apabila aku sampai rumah customer, call tak jawab, tekan loceng tak buka pintu. Alih-alih dapat aduan kononnya makanan tak sampai,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk dijadikan pelajaran kepada penghantar makanan yang lain, dia berkongsi kisah bagaimana berjaya mengatasi daripada diperdaya oleh pelanggan melakukan pelbagai helah semata-mata mendapatkan makanan percuma.
“Ada hari tu saya dapat job hantar makanan Korea (hidangan makanan ala Korea) ke Mont Kiara. Rumah kawasan orang ada-ada (golongan berada). “Sampai saja depan rumah dia, saya telefon dua hingga tiga kali tak dijawab, tekan loceng tak buka pintu tapi saya perasan ada orang mengintai daripada langsir.
“Saya letak makanan atas tembok pagar dan saya tahu dah modus operandi si T20 ni nak makanan free. Saya start motosikal jalan depan sikit dan berhenti bawah pokok. Dalam tiga hingga empat minit keluar tuan rumah tu. Ambil makanan atas tembok sambil saya merakam dengan handset,” katanya lagi.
Selang 40 minit kemudian, dia menerima panggilan daripada wakil khidmat pelanggan syarikat penghantar makanan. Pelanggan ini mengadu bahawa makanan dipesan tidak diterima. Pelanggan tersebut juga meminta pulangan wang sebanyak RM100 sebagai ganti.
“Akhirnya saya bagi bukti video pula. Barulah dia mengaku kononnya lupa padahal dah masuk perut, jadi tahi dah makanan tu,” luah penghantar makanan itu lagi.
Komen warganet di hantaran tersebut, rata-rata kecewa dan berang dengan sikap sebegitu rupa ditunjukkan oleh pelanggan.
“T20 kadang-kadang tak kisah makan harta haram. Janji dia untung. B40 pun ada yang perangai macam tu. Kena ingat sama la halal haram.” Komen dari pengguna Facebook atas nama Benang Merah.
Antara komen lain pada hantaran tersebut, “Sebenarnya bukan M40, T20, or B40. Tapi individu itu sendiri tak ukur baju badan sendiri, lepastu salahkan rider gara-gara nak makan free.”
Semoga kelakuan seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan, dan perkongsian dari penghantar makanan mengenai isu ini membolehkan penghantar makanan yang lain lebih berhati-hati, supaya tidak menjadi mangsa penipuan seperti ini. – MStar







