Motosikal

MOTOSIKAL TERBABAS, PENGHANTAR MAKANAN WANITA TUNGGANG YAMAHA R15 MAUT

Seorang penghantar makanan wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dikatakan terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer S1.4 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dekat susur masuk Putra Height dari Puchong, semalam.

Dalam kejadian 6.01 petang itu, Wong Lai Yie, 30, yang menunggang Yamaha YZF- R15 dipercayai terbabas akibat permukaan jalan basah dan melanggar pembahagi jalan sebelum terpelanting.

Kakak mangsa yang mahu dikenali sebagai Wong berkata, adiknya bekerja sebagai penghantar makanan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya ketika kejadian, mendiang dikatakan mengambil pesanan makanan di Cheras untuk dihantar kepada pelanggan di USJ.

“Saya diberitahu ketika kejadian ada pemandu lain melihat motosikal mangsa terbabas berhampiran sebuah kereta. Bagaimanapun tidak pasti sama ada motosikal adik bergesel dengan kereta itu atau tidak,” katanya.

Disebabkan itu, ada yang mendakwa bahawa insiden malang itu berlaku kerana mangsa dilanggar lari oleh sebuah kenderaan lain.

Mereka sekeluarga memohon saksi yang melihat kejadian atau pengguna jalan raya yang merakam insiden itu melalui kamera papan pemuka untuk tampil membantu pihak polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman mengesahkan kemalangan berkenaan.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa terbabas akibat permukaan jalan yang basah, lalu melanggar pembahagi batu dan terpelanting sebelum melanggar sebatang pokok.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button