
BERGAYA KE SEKOLAH ATAU BEKERJA DENGAN PEMADAM YOKOHAMA ADVAN – NAK SATU BOLEH?
Sebenarnya ada banyak je produk yang dikeluarkan oleh syarikat automotif ni. Ia satu daripada cara mereka menjana pendapatan tambahan selain salah satu cara pengiklanan. Mesti korang dah biasa tengok mug Toyota atau ball-pen Nissan ataupun botol air Subaru. Kalau tak pernah memang lemah betul. Nantikan kami keluarkan lagi produk Mekanika termasuk stoking. Tapi korang kena la support dengan beli banyak-banyak.

Tapi produk keluaran terbaru Yokohama ni memang tahap genius punya idea. Getah pemadam yang diilhamkan dari bunga tayar Yokohama Advan keluaran mereka. Cool weh.
Tayar diperbuat daripada getah dan pemadam pun berasal daripada getah jadi senang sikit kerja pembuatan. Walaupun kita dan jarang sangat guna pensil (Kami pun tak ingat bila last kami guna pensil), tapi mempunyai replika mini berbentuk tayar berharga mahal di atas meja sememangnya sangat menarik. Terdapat pilihan corak Neova AD09 dan versi klasik A052.

Sebenarnya jangankan replika tayar Yokohama Advan, kalau ada replika tayar Ling Long pun kami beli kalau ada. Bukannya nak pakai kat kereta pun.
Nampak mudah tapi bukan senang Yokohama nak hasilkan pemadam ini. Jika material terlalu lembut digunakan, susah untuk mereka menghasilkan dengan ketepatan yang tinggi dan jika terlalu keras silap-silap terkoyak terus kertas masa digunakan. Ada juga prototaip awal yang dibakulsampahkan kerana mempunyai bau yang terlalu busuk. Ingat ini getah pemadam dan bukannya tayar lori sampah.
Bukan itu sahaja, kertas pembalutnya turut dihasilkan sebaik mungkin untuk mengurangkan ruang antara getah pemadam dan pembalutnya. Fuh, macam ni rupanya bila kejuruteraan teknologi tinggi diaplikasikan pada rekaan alat tulis.
Ini bukan kali pertama sebenarnya Yokohama hasilkan getah pemadam bertemakan tayar keluaran mereka. Mereka pernah mengeluarkannya pada tahun 2013 dan 2018 dan kesemuanya habis terjual di Jepun. Sama la macam tayar best-best, semuanya untuk pasaran tempatan Jepun. Haish.
Jadi jangan harap sangat ia akan sampai ke tempat-tempat lain. Peminat alat tulis yang tak minat dengan kereta dan tayar pun berebut-rebut untuk memilikinya sebagai koleksi. Malah ada juga yang menjadikannya azimat bertuah untuk digunakan semasa peperiksaan. Eh, boleh tahan khurafat budak-budak Jepun ni ye hahaha.