
GURU PENCEN BINA PARKIR HARAM, GARIS JALAN TERPAKSA JADI BENGKOK BEGINI
Sikap mementingkan diri sendiri menyebabkan sebatang jalan di kawasan perumahan di Taman Intan di Kluang, Johor mempunyai garisan jalan yang bengkok.
Keadaan itu dikatakan berpunca daripada tindakan seorang guru bersara yang membina tempat meletak kenderaan tanpa kebenaran, sekali gus “memakan” jalan di hadapan rumahnya.
Penduduk tempatan memberitahu akhbar China Press bahawa pembinaan haram itu telah berlaku beberapa tahun, tetapi tiada orang yang membuat aduan.
Sebaliknya, masalah itu hanya mendapat perhatian apabila kontraktor berdepan masalah ketika mahu mengecat garisan jalan.
Justeru, pihak majlis perbandaran telah mengeluarkan notis mengarahkan pemilik rumah merobohkan struktur binaan haram yang menghalang jalan dalam tempoh 72 hari. Sekiranya gagal, tindakan meroboh oleh pihak berkuasa tempatan akan dilakukan.
Walau bagaimanapun, seorang jurutera dari majlis perbandaran memberitahu, pemilik rumah seakan-akan tidak mahu memberi kerjasama.
Jurutera itu juga kecewa kerana pemilik rumah mempunyai tabiat menyimpan barang dan terdapat banyak tempat takungan air di kawasan simpanan itu sehingga dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk. – MalaysiaGazette