
QJMOTOR AX200S LANCAR DI MALAYSIA MEI INI – 18.1HP, BAWAH RM8K
Baru-baru ini MForce Bike Holdings telah meraikan pengamal media tempatan dengan majlis buka puasa.
Ketika acara berlangsung, MForce turut menggunakan peluang tersebut melancarkan CFMoto 700MT dan Benda Chinchilla 500.

Bagaimanapun, paling mencuri tumpuan adalah pengumuman oleh Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad yang mengumumkan empat model baharu yang bakal dilancarkan di Malaysia bulan Mei ini.
Antara yang paling menonjol adalah skuter urban QJMotor AX200S. Berbekalkan enjin satu silinder 175cc SOHC, skuter ini berupaya menjana 18.1hp pada 8,500rpm dan 15Nm pada 6,500rpm. Ini bermakna skuter ini lebih berkuasa berbanding Yamaha NVX 155 (15.5hp) dan Honda Vario 160 (15.1hp).

Meskipun info terperinci tidak dinyatakan namun kami difahamkan skuter ini hadir dengan ABS dwi-saluran serta sistem traction control. Kelengkapan lain turut disenaraikan termasuk fork teleskopik, rim 14-inci depan dan belakang serta cakera brek 230mm depan dan 220mm belakang.

Berikut perincian lain ditawarkan:
- tangki bahan api berkapasiti 10L
- berat 127kg
- ketinggian tempat duduk 780mm
- jarak kelegaan tanah 145mm

Apa yang mengejutkan, QJMotor AX200S ini akan dijual pada harga bawah RM8,000 sekaligus bakal memberi saingan hebat pada Aveta Nova 160, NVX dan Vario.