Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: BAGAIMANA DSG BERFUNGSI

Dalam artikel mukaddimah yang lepas, kami telah menceritakan mengapa transmisi DSG direka, sejarah pembangunan, kebaikan dan juga kelemahan sistem transmisi DSG sendiri. Jadi dalam artikel kali ini kami akan mengupas komponen yang ada dalam transmisi DSG dan bagaimana komponen transmisi ini berfungsi semasa operasi.

Bagi memudahkan pemahaman, perbincangan kali ini akan melibatkan transmisi DSG 6 kelajuan dengan sistem klac basah. Klac basah merujuk kepada cecair hidraulik yang digunakan di dalam piston klac dan juga berfungsi untuk menyejukkan klac semasa operasi

Komponen Transmisi DSG terdiri daripada:

1. Elemen transmisi manual iaitu gigi gear mekanikal yang disusun dalam satu syaf berkembar (luar dan dalam). Satu syaf bertindak menjaga gear ganjil iaitu 1,3 dan 5. Satu lagi syaf akan memegang gear genap iaitu 2,4 dan 6. Sama seperti gear manual biasa, transmisi ini akan datang lengkap dengan 4 unit synchronizer bagi memudahkan penukaran gear dan juga 2 unit gear fork.

Jika dilihat dari depan, susunan syaf -syaf ini seperti teleskop

2. Modul Klac yang datang dengan unit berkembar di mana inner shaft akan disambung dengan satu klac dan outer shaft akan disambungkan dengan klac yang berbeza. Di dalam modul klac ini terdapat satu piston yang akan mengaktifkan salah satu klac dengan bantuan hidraulik. Jika satu klac gear ganjil bersambung, secara automatik klac gear genap akan diputuskan. Jika gear genap bersambung, klac gear ganjil akan diputuskan

3. Unit Mekatronik merupakan pusat arahan yang bertugas menerima data dan mengarahkan operasi penukaran gear serta klac di dalam unit DSG melalui tekanan yang dihasilkan oleh cecair hidraulik. Ia terdiri daripada unit ECU, valve body dan solenoids. ECU akan mengumpul data daripada sensor halaju, suhu, dan tekanan. Data ini akan dianalisis bagi mengeluarkan arahan penukaran gear oleh ECU

Solenoid pula adalah injap elektro hidraulik yang akan melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh ECU. Fungsinya ialah untuk mengawal tekanan hidraulik. Valve body pula berfungsi untuk mengalirkan minyak hidraulik pada sistem klac dan unit transmisi DSG sendiri. Ia juga mengandungi manual valve yang menentukan kedudukan tombol gear samaada pada kedudukan P, R, N atau D.

Operasi DSG

Mazda CX30

Sebaik sahaja pemandu menggerakkan tombol gear dari P kepada D, arahan tersebut akan diterima oleh Valve Body pada unit mekatronik. Mekatronik akan memberi arahan kepada unit solenoid untuk mengalirkan cecair hidraulik pada tekanan tertentu kepada unit DSG dan piston klac. Unit gear fork akan mengaktifkan synchronizer gear 1 dan sebaik sahaja pedal terotel ditekan, unit solenoid akan mengaktifkan hidraulik piston klac yang akan menyambungkan klac kepada enjin dan gear satu. Hasilnya kereta akan mula bergerak ke depan

Sama seperti gear manual, DSG menggunakan mekanisme synchronizer yang akan menyambungkan gear kepada input syaf. Namun unik kepada DSG, sebaik sahaja synchronizer tadi mula mengaktifkan gear 1, satu lagi synchronizer akan mengaktifkan gear 2 secara serentak pada syaf gear genap melalui unit solenoid. Namun disebabkan syaf ini tidak bersambung pada klac, tiada pergerakan gear akan berlaku.

Disebabkan halaju kereta telah bertambah, sensor di dalam unit mekatronik mengesan perubahan ini dan mengarahkan unit solenoid mengubah kedudukan gear dengan memutuskan klac gear ganjil dan menyambung kepada klac gear genap. Disebabkan gear 2 sudahpun dimasukkan pada kedudukan melalui mekanisme synchronizer serta fork, pertukaran gear akan berlaku dalam tempoh milisaat sahaja tanpa, dan transmisi tidak kehilangan kuasa seperti gear manual biasa.

Sebaik sahaja gear kedua beraksi, mekatronik akan menghantar arahan kepada unit fork dan synchronizer pada gear ganjil agar melepaskan gear 1 dan memasukkan gear ketiga dengan serentak. Apa yang perlu dilakukan selepas ini jika halaju bertambah ialah, unit mekatronik menghantar arahan agar menukar klac gear genap kepada gear ganjil dan transmisi DSG akan mengubah dari gear 2 kepada gear 3.

Dalam operasi DSG, kunci kepada penukaran gear ialah ia telah dilakukan lebih awal oleh synchronizer dan gear fork. Untuk menukar gear, sistem mekatronik hanya perlu menukar aliran kuasa dari klac ganjil ke klac genap dan kepada gear ganjil semula.

Tags
Google ads
Back to top button