
BICARA TEKNIKAL: VOLVO COMPOUND ENGINE
Ada beberapa komen dari pembaca yang mahukan kami buat ulasan berkenaan teknologi lori. Jadi untuk tidak menghampakan pembaca, kami mulakan ulasan berkenaan lori dengan teknologi yang ada pada pembuat lori terkemuka iaitu Volvo. Ya selain dari pandai menghasilkan kereta yang canggih, mereka juga adalah pembuat lori terkenal di Eropah
Salah satu faktor yang menentukan keuntungan bagi operator pengangkutan dan juga logistik ialah kos bahan api. Menyedari kos bahan api memakan 1/3 dari kos operasi, maka Volvo sentiasa mencari jalan untuk menurunkan penggunaan disel bagi enjin lori mereka. Salah satu usaha Volvo ialah dengan memperkenalkan teknologi Volvo Compound Engine

Enjin turbodisel ini dikenali dengan nama D13TC yang merupakan enjin 6 silinder sebaris dengan saiz 12,800 cc yang dipadankan dengan sistem injap SOHC 16 injap. Sistem penghantaran disel diuruskan oleh sistem Common Rail dengan tekanan setinggi 35,000 psi. Nozzle atau lubang suntikan menggunakan 7 lubang bagi memastikan disel disembur dengan sekata
Nisbah mampatan bagi enjin disel ini ialah 17:1 dan ia mampu menawarkan 3 pilihan kuasa enjin samaada 425 kuasa kuda, 450 kuasa kuda dan juga 500 kuasa kuda. Tork maksima ialah 1650Nm pada 1050 RPM sahaja. Oleh kerana enjin ini direka bagi melepasi tahap pencemaran Euro 6, maka ia hanya boleh menerima disel dengan kandungan sulfur 15 ppm sahaja.

Berbanding dengan model 2015, enjin terbaru ini mampu mencapai penjimatan disel sebanyak 11% dengan 2 teknologi baru iaitu rekaan permukaan piston dengan geometri khusus yang berlekuk mengikut pembakaran dan juga teknologi turbo compound.
Permukaan piston direka supaya ia memiliki 7 kebuk pembakaran khas. Ia akan menghasilkan 7 pembakaran apabila disel disembur pada kebuk pembakaran dan rekaan kebuk pembakaran ini memastikan semua pembakaran terjadi berpatah balik dan bergabung pada titik tengah silinder enjin. Haba yang meninggalkan kebuk pembakaran akan melalui turbin bagi menggerakkan sistem turbo geometri berubah bagi membawa lebih banyak udara untuk dibakar.

Namun unit turbo compund ini berbeza sikit dengan unit turbo biasa. Selepas meninggalkan turbin, gas ekzos yang masih memiliki tenaga haba dan kinetik ini akan diekstrak dan ditukarkan kepada tenaga mekanikal. Gas turbin akan disambungkan dengan beberapa siri gear dan seterusnya bersambung dengan flywheel enjin D13TC. Konsep ini hampir sama dengan konsep jet turbin enjin yang digunakan oleh pesawat.
Volvo menganggarkan sekitar 50 kuasa kuda tambahan berjaya diekstrak melalui kaedah ini tanpa membakar lebih banyak disel. Bagi memastikan sistem ini bertahan dengan lama, Volvo telah mereka sistem ini dengan komponen yang kurang dan menggunakan lebih banyak bebola besi dalam usaha mengurangkan geseran mekanikal pada sistem. Enjin D13TC ini lebih cekap tenaga sekitar 6.5% berbanding dengan enjin D13 yang biasa.

Bukan itu sahaja, mengikut spesifikasi yang kami baca untuk pasaran Amerika enjin D13TC yang dipasang pada lori Volvo VNL ini membolehkan ia beroperasi sejauh 55,000km sebelum ia perlu diservis. Bagi setiap kali servis, ia memerlukan kira-kira 36 liter minyak pelincir dengan gred SAE 10W-30 Volvo VDS. Kalau biasa beli sebotol untuk kereta kita, lori ini pakai 9 botol bang. Kami harap abam-abam lori tak buat mogok dengan bos mereka untuk minta lori Volvo baru