
BIMS 2024: TOYOTA HILUX REVO GR SPORT WIDE TREAD AGRESIF MENYALA – 224PS, HARGA BERMULA RM121K
Dengan pelbagai model mendarat di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024, namun perhatian kini terarah pula pada Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread, dengan harga pelancarannya 934,000 baht (RM121,230).
Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread bukan sahaja datang dengan lebih berprestasi tetapi juga tampil lebih agresif sebagai daya tarikan visual.
Secara visual, GR Sport Wide Tread mendapat inspirasi daripada model pasaran Australia, menampilkan bampar baharu yang menarik dan gril hadapan direka bentuk semula.

Seperti kita boleh lihat, ia juga tampil dengan kit widebody bersama kemasan fender lebih lebar, tambahan sebanyak 140mm di hadapan dan 155mm di belakang.
Bukan itu sahaja, ciri-ciri menarik lain terdapat pada jentera ini termasuklah dipadankan bersama tayar BF Goodrich AT profil 265/65, rim 17-inci, talaan semula pada spring, stabiliser bar hadapan, wishbone depan yang lebih tebal, penambahan titik kimpal pada casis, brek cakera belakang serta cakera brek hadapan lebih besar.
Kelengkapan lain turut dimuatkan adalah seperti lampu utama LED bi-beam, lampu kabus LED, tempat duduk balutan suede/kulit, kawalan iklim dua zon serta sistem telematik T-Connect.

Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread juga mempunyai jarak kelegaan tanah yang dinaikkan sebanyak 37mm, disokong oleh peredam monotube bersepadu baharu, diletakkan jauh dari casis rangka tangga untuk keupayaan luar jalan dipertingkatkan.
Menjengah dalam kabin, varian GR Sport ini dilengkapi skrin sentuh baharu 10.25-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, cermin belakang boleh malap sendiri, pad pengecas tanpa wayar serta port pengecas USB-C untuk penumpang belakang.
Beralih pada kuasa, GR Sport Wide Tread kekal dijana enjin 1GD-FTV 2.8 liter sebaris empat turbodiesel, menghamburkan 224PS pada 3,400rpm dan tork 550Nm antara 1,600 hingga 2,800rpm.
Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi tujuh beg udara, kamera 360 darjah, sistem kunci tanpa kunci dan sistem keselamatan standard seperti dinyatakan dibawah:
- Hill Start Assist
- Hill Descent Control
- Adaptive Cruise Control
- Autonomous Emergency Braking
- Blind Spot Monitoring
- Lane Departure Warning dan Prevention
- Rear Cross Traffic Alert
Seperti dinyatakan di atas, Hilux Revo GR Sport Wide Tread kini boleh dimiliki pada harga 934,000 baht (RM121,230).
GALERI:











- BACA: BIMS 2024: MG CYBERSTER MENDARAT DI THAILAND – JANA 544HP, JARAK GERAK 580KM, HARGA BERMULA RM324K
- BACA: BIMS 2024: SUV EV HONDA e:N1 KINI MUNCUL DI THAILAND – TAWAR JARAK GERAK 420KM, JANA 201HP
- BACA: BIMS 2024: EV5, SATU LAGI SUV EV MENAWAN DARIPADA KIA
- BACA: BIMS 2024: KIA EV9, SUV ELEKTRIK 3 BARIS TEMPAT DUDUK. BAKAL TIBA DI MALAYSIA TIDAK LAMA LAGI!



