
SYM HUSKY ADV 150 LANCAR 1 APRIL INI – RM9,888?
Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa MForce Bike Holdings Sdn Bhd akan memperkenalkan dua skuter terbaru untuk pasaran tempatan menerusi jenama SYM pada bulan Mac.
Skuter dimaksudkan itu merujuk kepada SYM Husky ADV 150 dan skuter maxi MAXSYM TL 508 generasi terbaru.

Terbaru, kami diberitahu bahawa dua skuter tersebut akan dilancarkan dalam satu majlis buka puasa yang akan berlangsung pada 1 April ini.
Ini bermakna peminat kedua-dua model ini tidak perlu menunggu lama untuk meraikan kedatangan model berkenaan.

Terdahulu, kami diberitahu bahawa Husky ADV 150 ini akan hadir dengan harga anggaran bawah RM10,000 sementara Maxsym TL508 pula dianggarkan bawah RM48k.
Bagaimanapun, kami kini dimaklumkan bahawa Husky ADV 150 itu akan dijual pada harga RM9,888 sekaligus mengesahkan maklumat yang diterima sebelum ini. Sementara itu, Maxsym TL508 pula ditawarkan pada RM46,888.
Untuk rekod, Husky ADV 150 ini menawarkan 14.5hp dan 14.5Nm daripada enjin satu silinder 150cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair.

Sementara itu, SYM Maxsym TL508 pula menawarkan enjin yang telah dinaik taraf dari dari 465cc kepada 508cc sekaligus menghasilkan 45hp dan 50Nm berbanding 40hp dan 42.5Nm sebelum ini.
Nantikan laporan penuh pada hari pelancaran nanti.