
BMW CONCEPT 4 – KIDNEY GRILL YANG MENARIK PERHATIAN
Di antara warisan identiti BMW ialah Hofmeister kink pada tiang C dan kidney grill pada bahagian depan. Kedua-dua identiti ini wajib ada walaubagaimana bentuk model itu sekali pun.
Cabaran untuk menggunakan identiti tersebut berubah mengikut jenis model, ada yang kecil atau besar namun ia tetap ada.
Gril depan adalah identiti jenama besar. Lihat sahaja Audi, Mercedes-Benz, Lexus yang tampil dengan gril tersendiri. Tidak dinafikan saiz gril kereta sekarang semakin menonjol sama ada melalui saiz yang besar atau reka bentuk agresif.
Terbaru di Pameran Kenderaan Antarabangsa (IAA) Frankfurt 2019, BMW tampil mempertontonkan Concept 4 yang menerima liputan meluas. Sebabnya ialah BMW begitu berani dengan kidney grill yang begitu besar.
Concept 4 tampil menawan dengan badan atletik, bumbung rendah, bonet panjang dan permukaan elegan. Ini adalah bayangan kepada model 4 series baharu yang akan diperkenalkan nanti.
Kidney grill yang dibuat besar tersebut menurut BMW melambangkan keyakinan dan wajah ekspresif. Ia juga lambang warisan BMW sejak sekian lama.
Bentuk dan rekaan kidney grill itu merupakan inspirasi daripada BMW 328 dan BMW 3.0 CSi dan juga imbasan sejarah BMW sebagai pengeluar model coupe yang menawan.
BMW 328 adalah model coupe klasik yang mempunyai kidney grill yang panjang dan menonjol seperti Concept 4 ini.
Bahagian sisi pula menonjol dengan arka roda belakang yang menonjolkan keseluruhan tepi model konsep ini. Bahagian belakang tampil ekspresif dengan garisan dan liang pada bawah bampar.
Penampilan BMW Concept 4 ini diteruskan dengan warna Forbidden Red dan roda aloi ringan 21 inci.
BMW 4 Series baharu dikhabarkan akan diperkenal tahun depan atau pada 2021. Generasi sekarang sudah berada di pasaran sejak Julai 2013 dan ia adalah siri model sporti dengan bumbung rendah terdiri daripada coupe, convertible dan gran coupe empat pintu.
Adakah model produksi 4 Series akan tampil dengan kidney grill yang menonjol begini? Mungkin tidak berdasarkan rakaman gambar celoreng semasa ujian di atas jalan raya awam.
Atau pun jika benar besar, tiada yang pelik kerana pengeluar lain sudah lama begitu.
BACA: BMW SAH AKAN HASILKAN M3 MANUAL 2020 – SEBAB GEAR MANUAL ADA KAREKTER
BACA: BMW M3 E46 DIJUAL PADA HARGA RM370,400 – MODEL KLASIK JERMAN DAH MULA NAIK HARGA?
BACA: ACURA TLX, INI LAWANNYA BMW, MERCEDES-BENZ & AUDI!