Motosikal

BMW R 18 CLASSIC 2021. ENJIN BOXER 1.8L, 3 MODE TUNGGANGAN, RM154.5K SAHAJA

BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini memperkenalkan jentera cruiser BMW R 18 Classic ke pasaran tempatan.

Hadir dalam warna Black Storm Metallic, jentera itu dilengkapi tangki bahan api berbentuk titis air, termasuk pengepala bersadur krom, serta jalur halus seperti yang dilihat pada BMW R 18 First Edition.

Varian baharu dipasang dengan lampu kabus dan lampu hadapan LED. Tempat duduk pembonceng juga boleh ditanggalkan dengan mudah jika tidak digunakan.  

Penghadang angin bersaiz besar disediakan sebagai standard. Elemen klasik diserlahkan menerusi pengguna rim lidi bersaiz 16 inci. Bahagian belakang pula dihiasa oleh lampu LED dan paip ekzos keluli tahan karat berbentuk bulat.

BMW R 18 dikuasakan oleh enjin Boxer bersesaran 1,802cc yang paling besar pernah dibangunkan oleh BMW. Enjin empat lejang, dua silinder yang telah diperbaharui itu hadir dengan aci sesondol berasaskan rantai.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa 91hp dan tork maksimum 158Nm pada 3,000 rpm dengan kelajuan tertinggi mencecah 180 km/j. Turut dikenali sebagai “Big Boxer”, enjin berkenaan disejukkan menerusi sistem penyejukan udara/minyak.

Kuasa disalurkan ke roda melalui klac ‘anti-hopping’ dengan transmisi enam kelajuan. Biarpun berkuasa, penggunaan bahan api kekal pada paras 5.6 liter bagi setiap 100km.

Tugas membrek diserahkan kepada cakera berkembar bersaiz 300mm dengan angkup empat piston di hadapan dan brek cakera tunggal di belakang.

Sama seperti BMW R 18 First Edition, varian baharu ini membawakan Sistem Brekan Anti-kunci Integral BMW Motorrad dan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC). Di samping tiga mod tunggangan iaitu Rock, Roll dan Rain.

Ia juga dilengkapi sistem tork seretan enjin (MSR), Kawalan Brek Dinamik dan fungsi kawalan jelajah elektronik sebagai standard.

BMW R 18 Classic didatangkan dengan gear undur dan pelitup pengisi bahan api yang boleh dikunci.

Pelanggan boleh mengubah suai BMW R 18 Classic menerusi  pelbagai aksesori Original BMW Motorrad Accessories yang merangkumi beg sisi dan macam-macam lagi.

Menerusi pelan pembiayaan yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW R 18 Classic boleh dimiliki dengan bayaran bermula RM1,878 sebulan. Ini berdasarkan kepada anggaran ‘balloon financing’ bagi pinjaman berjumlah 80 peratus untuk tempoh 4 tahun.

Harga BMW R 18 Classic ialah RM154,500 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button