Motosikal

BMW R 1250 RT 2021 MASUK PASARAN MALAYSIA. RM142,500 SEUNIT

BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan model generasi motosikal touring terbaharu BMW R 1250 RT.

BMW R 1250 RT mendapat sentuhan penambahbaikan yang komprehensif dari segi kelengkapan standard dan aspek teknikal demi menjamin pengalaman tunggangan serba baharu.

Jentera terbaharu itu dijual pada harga RM142,500 (atas jalan, tanpa insurans dan dengan Waranti Terbaharu Bertempoh 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia).

Ia kini disediakan dengan peralatan standard yang dinaik taraf, termasuk BMW Full Integral ABS Pro dan Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control).

Rekaan jentera terbaharu itu dilengkapi komponen fairing hadapan aerodinamik, lampu hadapan LED dipadankan ciri adaptif, lampu indicator LED dan lampu belakang LED.

Kelengkapan standard lain termasuk rak bagasi, kompartmen muatan, tongkat tengah, bekas panier integral dalam rona warna tubuh jentera ini, hon nafiri dwitona dan perisai angin boleh laras.

R 1250 RT didatangkan unit infotainmen panel meter TFT berwarna 10.25 inci dengan ciri multikawalan, sambungan Bluetooth dan akses navigasi menerusi aplikasi mobil BMW Motorrad Connected.

Selain itu, para penunggang boleh memilih  tiga mod tunggangan standard, iaitu pakej Ridings Modes Pro, termasuk mod Dinamik dan kawalan brek enjin dinamik baharu (MSR).

Jentera ini mendapat khidmat enjin trenkuasa jenis boxer dwi-silinder 1,254cc dengan sistem drive shaft berkuasa 136hp @ 7,750rpm dan tork 143Nm @ 6,250rpm.

Enjin dengan status Euro5 ini turut dilengkapi teknologi BMW ShiftCam.

Dari segi sistem suspensi, ia hadir dengan generasi baharu Dynamics ESA manakala fork hadapan dilengkapi BMW Motorrad Telelever menaik taraf keselesaan tunggangan dan melengkapi fungsi sistem ABS.

BMW Motorrad Paralever pula menggandingkan konsep rekaan sporty dengan struktur ringan yang konsisten untuk menjamin karakteristik maklum balas yang amat sensitif bagi suspensi roda belakang, selain membekalkan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi.

BMW R 1250 RT baharu juga hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control) untuk membekalkan tahap keselamatan tunggangan dan prestasi cengkaman yang cemerlang.

Ciri-ciri menarik lain termasuk Kawalan Jelajah Aktif (ACC), Kawalan Mula Daki (HSC), Bantuan Pro Shift Gear, Entri Tanpa Kunci, pemanas pelana dan sistem keselamatan antikecurian.

Untuk peminat jentera terbaharu ini, BMW Group Financial Services Malaysia menawarkan pelan Ballon Financing dengan skim bayaran bulanan serendah RM1,738 sebulan mengikut pinjaman 80 peratus bagi tempoh empat tahun.

Google ads
Back to top button