" "
Pandu Uji

BMW iX3 M SPORT, EV DENGAN PENGENDALIAN YANG BEST

Memang tidak dinafikan bahawa kereta elektrik memang akan menang jika ia berlumba dengan enjin pembakaran dalam di laluan lurus. Dengan tork yang masuk seawal 0 RPM dan motor elektrik boleh berputar sehingga 15,000 RPM maka kereta dengan enjin pembakaran dalam bukanlah tandingan kepada EV jika anda berlumba di laluan lurus.

Namun jika anda berlumba di laluan berselekoh, maka kereta dengan enjin pembakaran dalam memiliki peluang yang lebih baik untuk menang. Bateri yang digunakan untuk menyimpan tenaga elektrik sebenarnya sangat berat dan ketumpatan tenaga yang dimiliki oleh bateri adalah rendah. Maka ia perlu direka dengan lebih besar dan berat menjadikan EV sebenarnya lebih berat berbanding dengan kereta biasa

Berat pada kereta elektrik ini sebenarnya mempengaruhi dinamik pengendalian kereta elektrik, dengan momentum yang besar akan terhasil ketika EV memecut di laluan lurus. Ketika mula masuk keselekoh, momentum tadi akan cuba kekal bergerak di lalaun lurus manakala anda akan memberikan innput untuk masuk ke selekoh

Pada ketika inilah anda akan rasakan EV sebenarnya bergelut dengan stering dan cesi yang ringan pada kereta petrol menjadikannya lebih sedap dipandu di laluan berselekoh. Tapi bagi BMW iX3 M Sport, semua isu di atas seperti tidak wujud walaupun ia adalah sebuah EV

Dari segi rekaan, BMW iX3 M Sport dihasilkan oleh Calvin Luk iaitu salah seorang jurureka bentuk daripada BMW yang termuda. Anda boleh lihat falsafah rekaan iX3 ini nampak segar, bertenaga dan energetic. Kidney grille yang digunakan tidak terlalu besar, ditutup sepenuhnya dan dilapisi dengan tona biru lembut

Bagi membezakan iX3 dengan varian petrol, iX3 juga diberikan calitan warna biru lembut di beberapa tempat yang strategik seperti di dalam lampu, air curtain hole di bampar depan dan juga di kawasan ekzos sepatutnya dipasang.

Tidak seperti kebanyakan BMW lain yang diberikan angka bagi menunjukkan kuasa yang ada, hanya huruf “i” sahaja diletakkan di bahagian pintu bonet belakang. Mungkin huruf “i” ini menunjukkan 2 varian yang ditawarkan oleh BMW samaada Inspiring ataupun Impressive

Salah satu sebeb tiada angka bagi menunjukkan kuasa enjin ialah hanya satu spesifikasi motor elektrik sahaja yang digunakan untuk seluruh dunia. Dari segi rekaan luar dan penawaran spesifikasi, varian Impressive merupakan varian yang lebih mahal. Varian Impressive akan diberikan lampu depan Lase Light BMW dan juga rim 20 inci yang lebih besar.

Untuk rekaan ruang kabin, rekaan konvensional yang ditawarkan oleh BMW iX3 rasanya lebih digemari oleh penulis berbanding dengan rekaan futuristik daripada model BMW iX. Ia mengekalkan beberapa ciri tradisional seperti tombol gear, gabungan butang dan skrin untuk kawalan fungsi, skrin 12.3 inci BMW Live Cockpit Professional lengkap dengan hand gesture dan juga lampu kabin yang menarik pada waktu malam

Ruang dalaman ditawarkan dengan warna hitam bagi menampilkan rekaan yang lebih sporti namun ia turut diberikan panaromic roof yang menjadikan ruang kabin yang lebih luas. Walaupun dibina dengan menggunakan platform kereta petrol, BMW iX3 masih menawarkan ruang kaki yang cukup luas.

Anda masih mendapat 510 liter ruang kargo (kurang 40 liter berbanding varian petrol) dan boleh dibesarkan menjadi 1560 liter apabila kusyen dibahagian belakang dilipat. Bagi memenuhi syarat regulasi untuk pejalan kaki, bunyi motor elektrik yang dihasilkan oleh Hans Zimmer dikeluarkan untuk didengari oleh pejalan kaki.

Manakala untuk pemandu dan penumpang anda akan dihidangkan dengan bunyi yang futuristik daripada Hans Zimmer. Penumpang dan pemandu pula akan dihidangkan dengan bunyi yang jelas daripada 16 speaker jenama Harman Kardon

Seperti yang sedia maklum, platform BMW iX3 M Sport ini diasaskan dengan menggunakan plaform enjin pembakaran dalam serta menggunakan rekaan sistem elektrik 400 volt. Bateri lithium ion sebesar 74kWh digunakan yang membolehkan anda memandu sejauh 453km WLTP untuk satu pengecasan penuh

Sistem pengecasan terbina dalam atau On Board Charger (OBC) pula menerima 11kW bagi arus ulang alik dan 150kW bagi arus terus. Pengecasan AC akan mengambil masa dalam tempoh 7.5 jam manakala pengecasan DC dari SOC 10% ke 80% akan mengambil masa 32 minit sahaja

Pecutan kereta elektrik memang tidak dapat dinafikan memang laju dengan catatan masa 6.8 saat dari 0-100km/jam manakala halaju tertinggi pula ditetapkan pada 180km/jam. Untuk mendapatakan jarak yang diiklankan anda perlu memandu pada atau di bawah 110km/jam

Terdapat 3 mode pemanduan yang ditawarkan samaada Eco Pro, Normal ataupun Sport. Ya memang best memandu BMW iX3 dengan mode Sport tapi ia akan menyebabkan anda kerap singgah ke stesen pengecasan.

Bagi varian petrol X3 hanyalah seberat 1865kg sahaja, namun bagi varian petrol berat ini akan bertambah kepada 2255kg. Namun berat yang bertambah ini langsung tidak mempengaruhi pengendalian BMW iX3 ini. Walaupun ia adalah sebuah SUV elektrik, tapi BMW masih mengekalkan resipi BMW pada iX3 ini.

Motor elektrik yang menjana sehingga 282 kuasa kuda dan 400Nm tork dipasang pada roda belakang. Berbeza dengan BMW iX varian asas yang hanya menawarkan sistem suspensi pasif, BMW iX3 pula tampil dengan sistem suspensi adaptif yang memiliki parameter operasi yang lebih baik berbanding dengan gegelung spring dan penyerap hentakan sahaja

Sistem suspensi BMW iX3 ini mampu menawarkan keselesaan apabila melalui permukaan jalan yang tidak rata. Tapi apabila dipandu dengan laju di lebuhraya ataupun melalui jalan berselekoh, input pada stering dan respon tindakbalas cesi dirasakan sangat hidup tidak sama seperti kereta elektrik yang lain

Anda boleh memandu dengan yakin di selekoh dan kekal laju dengan meratah selekoh penuh bergaya. Boleh dikatakan penawaran suspensi adaptif BMW iX3 ini sangat seimbang dari segi keselesaan dan juga dinamik pengendalian yang bagus, lebih bagus berbanding dengan BMW iX M40

Sama seperti kereta elektrik yang lain, BMW iX3 menggunakan brek regeneratif bagi mengutip semula tenaga kenetik untuk ditukar menjadi tenaga elektrik. Anda boleh mengawal kekuatan brek regeneratif di skrin namun adalah lebih baik jika BMW iX3 menawarkan ciri brek paddle selector seperti Hyundai Kona

Dalam aspek keselamatan BMW iX3 menawarkan semua ciri keselamatan aktif dengan teknologi sensing. Status sistem ini boleh diperhatikan pada butang di tengah papan pemuka. Warna hijau menunjukkan semua sistem sedang digunakan manakala warna jingga menunjukkan sesetengah sistem dimatikan. Anda hanya perlu menekan butang fizikal ini sahaja untuk mengawal semua sistem, cukup mudah.

Sistem keselamatan aktif BMW iX3 terdiri daripada Driving Assistant Professional Package menampilkan ciri brek kecemasan automatik, Adaptive Cruise Control dengan ciri stop & go, Lane Centering Assist dan Evasive Steering Assist, lengkap dengan bunyi amaran bagi pejalan kaki

Disebalik semua ciri yang memuaskan hati penulis, terdapat beberapa kelemahan yang ditemui oleh penulis semasa melakukan pandu uji. Pertama harga SUV daripada BMW ini sangat mahal, sekitar Rm 328,000 tanpa pilihan lain dan harga ini tidak termasuk cukai. Jika dimasukkan nilai cukai pasti harga BMW iX3 ini akan lebih mahal.

Anda perlu membayar RM 11,000 untuk jaminan tambahan 5 tahun, RM 6500 untuk pakej servis dan RM 5000 untuk pengecas AC dari jenama BMW. Tapi semua ini masih lagi murah berbanding dengan BMW X3 petrol yang berharga RM 339,000.

Namun secara keseluruhan, BMW iX3 M Sport merupakan SUV elektrik sepenuhnya dengan pemanduan yag paling seimbang yang pernah diuji oleh penulis, dibekalkan dengan kuasa yang secukupnya, jarak pemanduan yang membenarkan anda melakukan pemanduan jarak jauh dengan rekaan yang cukup menarik.

Google ads
Back to top button