
BMW LANCAR 3-SERIES ELEKTRIK UNTUK PASARAN CHINA
Di China, BMW baharu sahaja melancarkan sebuah model sedan berkuasa elektrik versi jarak antara roda yang panjang (LWB), iaitu BMW i3 eDrive35L.
Sedan i3 ini hanya akan mula dijual di China bermula Mei 2022, dan memperlihatkan perubahan elemen rekaan yang bakal kita lihat pada model 3-Series facelift.

Dari segi penampilan, BMW i3 eDrive35L ini didatangkan dengan unit lampu LED, rekaan gril yang tertutup menandakan ia sebuah EV, rekaan bampar depan yang telah dikemaskini, liang kemasukan berbeza, pemasangan rim aerodinamik, serta bampar belakang dengan diffuser terbina.
BMW i3 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,872 mm, dengan jarak antara roda 2,966 mm di mana ia 115 mm lebih panjang berbanding model 3-Series biasa, dan 5 mm lebih panjang berbanding 3-Series Li.

Panjang keseluruhan juga sebenarnya telah bertambah sebanyak 43 mm disebabkan oleh bampar yang direka semula, namun disebabkan penukaran kepada unit pacuan elektrik, i3 hanya menawarkan ruang kargo sebesar 410 liter sahaja, berbanding 480 liter pada model 3-Series.
Dari segi kuasa, BMW i3 membawakan unit pacuan eDrive Generasi Kelima yang sudah pun wujud pada model SUV iX3, sedan coupe i4 dan SUV iX.
Ia terdiri daripada motor elektrik yang diposisikan pada gandar belakang, menghasilkan kuasa setinggi 282 hp dan 400 Nm, serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

Pek bateri yang terletak di bawah lantai berkapasiti 66.1 kWh, membolehkan sedan elektrik ini dipandu sejauh 526 km untuk sekali cas (data CTLC) serta menyokong sistem pengecasan pantas DC 95 kW dan AC 11 kW.
Untuk pengecasan pantas, bateri hanya memerlukan masa sekitar 35 minit dari 10 hingga 80 peratus, atau penambahan jarak sejauh 97 km dalam tempoh 10 minit sahaja.
Menurut BMW, sistem suspensi sedan i3 ini telah ditala untuk disesuaikan dengan keadaan jalan raya di China oleh jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) BMW Brilliance Automotive Ltd.
Untuk pasaran China, BMW i3 eDrive35L akan dipasang di kilang Lydia Shenyang.










