Buletin

BMW M135i xDrive 2022, HATCHBACK 302HP 450NM!

Persaingan hatchback dari jenama premium memang hebat. Pengeluar Eropah seperti BMW, Mercedes-Benz dan Audi menawarkan model yang bukan sahaja bergaya tetapi berkuasa tinggi.

Ledakan persaingan segmen ini boleh diletakkan pada model Mercedes-Benz A-Class generasi ketiga (W176) yang berjaya meletakkannya pada aras sekarang.

Sebelum Mercedes-Benz hadir dengan A-Class W176, BMW menawarkan hatchback 1 Series generasi pertama (E81) pada tahun 2004.

A-Class memang telah lama dikeluarkan namun reka bentuk generasi pertama tahun 1997 lebih kepada kereta bandar kompak berbanding hatchback yang ditawarkan sekarang.

Audi pula mengeluarkan A3 generasi pertama (Typ 8L) pada tahun 1996. Tidak kira siapa yang dahulu, pengguna hari ini ditawarkan dengan pilihan hebat.

Terbaru BMW mengumumkan penawaran model 1 Series berprestasi M135i xDrive 2022 dengan perubahan pada pengendalian dan akustik dalaman. 

Model generasi ketiga (F40) ini berada di pasaran sejak tahun 2019 dan walaupun tanpa perubahan kosmetik masih lagi nampak segak dan menarik.

BMW M135i xDrive 2022 kekal digerakkan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo dengan kuasa 306 hp dan tork 450 Nm.

Enjin itu dipadan bersama transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan automatik dengan pacuan kesemua roda pintar xDrive.

Model BMW M ini dilengkapi dengan near-actuator wheel slip limitation yang diintegrasikan pada unit kawalan enjin.

Fungsinya ialah dengan memendekkan laluan isyarat yang membolehkan cengkaman kereta dikawal sehingga sepuluh kali lebih pantas berbanding sistem konvensional semasa memecut, permukaan licin dan ‘melayan’ selekoh.

Turut membantu ialah pembeza gelincir terhad (LSD) jenis mekanikal pada bahagian depan.

Seperkara lagi, differential model ini boleh menghantar tambahan daya tork kepada roda depan untuk cengkaman lebih baik dan ketika diperlukan.

Juga membantu di dalam pengendalian ialah fungsi Kawalan Penstabilan Dinamik (DSC) dengan sistem Kawalan Prestasi (Performance Control) yang mengoptimumkan karakter stereng bersama aplikasi brek pintar.

Camber roda depan model 2022 telah dinaikkan untuk mengoptimumkan penyerapan daya lateral (sisi) apabila melalui selekoh dengan prestasi tinggi.

BMW memasang hydromount baharu pada bahagian suspensi depan manakala cagak (mounttrailing dan control arm pada bahagian belakang telah direka semula.

Turut berubah ialah gegelung (spring) dan sistem mendapan yang dikalibrasi semula. 

BMW memaklumkan hasil perubahan itu boleh dilihat pada karakter olengan kereta yang begitu berbeza ketika melalui selekoh dan rasa stereng semasa memecut.

Selain perubahan kepada dinamika pemanduan, pemandu dan penumpang boleh mendengar bunyian ekzos di dalam kabin kereta melalui sistem pembesar suara.

Bunyian tersebut merangkumi setiap respon kaki pada pendikit seperti peningkatan tork semasa hendak memecut sehingga overrun.

Juga kedengaran di dalam kabin ialah bunyian khas yang dibuat untuk model ini sewaktu enjin dihidupkan. 

Pada bahagian luaran, BMW menawarkan pilihan warna baharu yang kini boleh dipesan melalui pakej BMW Individual.

Warna istimewa tersebut memerlukan khidmat tambahan dan sokongan kerja teknikal serta penambahan proses secara manual.

Bagi melaksanakan kerja itu, BMW telah mengubahsuai ruang mengecat sedia ada dan menambah sepuluh orang pekerja.

Warna baharu untuk model ini ialah Sao Paulo Yellow (bukan metalik), Frozen Orange dan Frozen Pure Grey.

Seronok bercerita, anda sebenarnya boleh mendapatkan BMW M135i xDrive (2020) secara rasmi dari BMW Malaysia pada harga RM355,646 seunit.

Google ads
Back to top button