Buletin

BMW XM LABEL RED KINI TIBA DI PASARAN MALAYSIA – 748HP, TORK 1000NM, JARAK GERAK 83KM, HARGA RM1.6 JUTA

BMW Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan model BMW XM Label Red di pasaran Malaysia dengan tanda harga RM1,615,800.00 termasuk waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan program servis berjadual percuma.

BMW XM Label Red merupakan pilihan pelanggan kerana ia lebih laju selain tampil eksklusif menerusi padanan warna hitam dengan beberapa kemasan berwarna Individual Frozen Carbon Black.

Bahagian hadapan model ini mempunyai kidney grille bercahaya sudut besar yang diapit oleh DRL dan lampu depan LED. Bampar hadapan mendapat empangan udara selain alur masuk (air dam and intake).

Bahagian belakang juga menggunakan lampu LED sementara adanya rekaan tip ekzos bertindih membuatkan ia kelihatan lebih sporty.

BMW XM Label Red diserlahkan lagi menerusi dua pilihan rim aloi M bersaiz 22-inci dengan aksen merah yang dipadankan dengan jalur Toronto Red, atau rim aloi M 23-inci dalam penggayaan Star Spoke serta dipadankan bersama jalur Shadowline.

Selain itu, model ini boleh didapati dalam 50 pilihan warna kustom yang boleh dipratonton menerusi BMW Indiviual Visualizer baharu.

Menjengah ke dalam kabin, ia turut menerima tema warna merah, tempat duduk dibalut dengan kulit Merino dwi-warna (merah/hitam) selain, beberapa kemasan berwarna merah di atas papan pemuka.

Dari segi kuasa, BMW XM Label Red dipacu oleh enjin S68 V8 4.4 liter TwinPower Turbo dengan sistem BMW M Hybrid dan dipadankan bersama motor elektrik, berupaya menghasilkan 748hp serta tork 1,000Nm.

XM Label Red mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, sementara kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j manakala menerusi M Driver’s Package, ia boleh mencecah 290 km/j.

Model ini dibekalkan bateri berkapasiti 25.7kWj yang menawarkan jarak gerak 83km dengan kelajuan maksimum 140 km/j dalam mod EV.

Untuk rekod, selain pacuan M xDrive, turut tersedia sebagai standard ialah Adaptive M Suspension Professional, peredam elektronik, Active Roll Stabilisation serta Integral Active Steering.

Google ads
Back to top button