Buletin

BUDGET AIRLINE CAR, IDEA ALTERNATIF UNTUK PENERBANGAN JARAK DEKAT

Tahukah anda? Beberapa negara di Eropah seperti Austria, Perancis dan Belanda telah pun mengharamkan atau menghadkan penerbangan jarak dekat.

Peraturan itu dibuat bagi menjaga alam sekitar dan pengguna boleh memilih kaedah pengangkutan yang lebih munasabah seperti kereta api.

Dari situ dan risiko pandemik, sebuah firma dari United Kingdom iaitu Car Design Research (CDR) menghasilkan kereta konsep yang dikenali sebagai Budget Airline Car.

Kereta ini hanya mengeluarkan dua peratus emisi untuk setiap penumpang berbanding penerbangan jarak dekat.

Konsep teras Budget Airline Car dihasilkan secara bersama dengan pereka bersekutu CDR iaitu Yichen Shu di China dan Aditya Jangid di India.

CDR kemudian membangunkan kereta itu dalam bentuk konsep asas.

Penerbangan jarak pendek banyak di Eropah

Di Eropah, 80 peratus penerbangan adalah berjarak dekat dan menghasilkan lebih banyak pelepasan CO2 iaitu 250 CO2 g/km untuk setiap individu berbanding pengangkutan penumpang lain.

Pelepasan itu 25 peratus lebih tinggi berbanding penerbangan jarak jauh dan dua kali ganda model kereta seperti Volkswagen Golf 1.5TSI yang menghasilkan 122 CO2 g/km bagi setiap individu.

Dengan itu jelas mengapa penerbangan jarak dekat diharamkan atau dihadkan di Eropah.

Muat enam penumpang!

Budget Airline Car boleh dinaiki enam penumpang dewasa dan menggunakan teknologi elektrik yang dibangunkan untuk pemanduan jarak jauh berbanding prestasi tinggi.

Penumpang ditempatkan di tiga baris tempat duduk dengan setiap seorang mempunyai kerusi sendiri selain ruang untuk menyimpan bagasi dan senang dicapai.

Dengan enam penumpang, berapa besar? 

Ukuran panjang dalam lima meter walaupun kesemua enam kerusi mempunyai saiz sama besar. Ukuran itu boleh dibuat hasil daripada penggunaan motor elektrik saiz kompak.

Ukuran lima meter juga meletakkan Budget Airline Car dalam lingkungan saiz Tesla Model X, Nio ES8 dan Volvo XC90.

Lebar kereta ini ialah 1.8 meter dan tinggi 1.5 meter dan dengan bahagian depan yang berkurang dan dari segi reka bentuk jelas boleh dilihat ciri aerodinamik dan ianya dapat membantu dari segi penggunaan tenaga lebih cekap.

Penumpang boleh jadi pemandu

Satu lagi idea menarik ialah penumpang boleh berkongsi pemanduan dan tidak semestinya memerlukan pemandu khas.

Dari segi keselamatan, kereta ini dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemanduan yang memberi lebih jaminan keselamatan kepada penumpang.

Idea bagus!

Idea begini nampak pelik namun ianya bagus untuk dilaksanakan. Fungsi Budget Airline Car seperti kenderaan awam tetapi dalam bentuk lebih kecil, moden dan canggih.

Memandangkan kereta ini dalam bentuk konsep maka tiada maklumat seperti bila boleh digunakan atau harga perkhidmatannya.

Apa yang penting adalah idea dan konsep ini boleh dibawa ke tengah!

BACA: TOGG BAWA KERETA DARI TURKI PAMER DI CES 2022, AMERIKA SYARIKAT

BACA: TESLA EDAR 936,172 UNIT EV SEPANJANG 2021

BACA: TEASER KONSEP TERBAHARU RALLIART. ADAKAH INI MODEL EVOLUTION?

Google ads
"
"
Back to top button