
YAMAHA SAH BERALIH KE ENJIN V4
Yamaha bakal membuat perubahan besar-besaran tidak lama lagi dalam usaha menyaingi Ducati di Kejuaraan Dunia MotoGP.
Menurut Autosport, ketika di MotoGP Misano hujung minggu lalu, Yamaha telah pun mengesahkan bahawa mereka akan beralih ke enjin V4 menggantikan penggunaan enjin ‘crossplane’ sedia ada.

Bukan itu sahaja, Autosport turut melaporkan bahawa pembangunan enjin V4 itu telah pun memasuki fasa akhir. Ini kerana Yamaha merancang untuk mempertaruhkan jentera 1000cc V4 sebelum kapasiti enjin diturunkan kepada 850cc bermula musim 2027.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Yamaha mengguna pakai enjin V4 kerana pernah melakukannya pada era 80-an.

Peralihan kepada platform V4 dilihat sebagai gerakan paling relevan dalam usaha menyaingi Ducati, Aprilia, Honda dan KTM di MotoGP. Kali terakhir Yamaha tampil kompetitif di MotoGP adalah pada musim 2021 apabila Fabio Quartararo muncul juara dunia.
Dalam pada itu, perkembangan terbaru ini pastinya sesuatu yang dinantikan peminat Yamaha di pentas MotoGP agar pasukan kesayangan mereka kembali memberi persaingan sengit termasuk bersaing dengan jentera Ducati.

Bagaimanapun, kami juga tertanya adakah terdapat perancangan untuk turut membangunkan platform V4 untuk motosikal ‘production’ sekaligus meneruskan produksi YZF-R1 dan R1M yang telah pun dihentikan pengeluaran ekoran pelaksanaan Euro5+.