Buletin

TOYOTA LAND CRUISER 70 SERIES 2017

Toyota Land Cruiser bukan benda baru bagi kaki-kaki 4×4. Kelasakan Toyota Land Cruiser sememangnya sudah cukup terbukti. Legasi itu kemudiannya di sambung oleh Toyota Land Cruiser II.

Nama Land Cruiser juga digunakan pada Land Cruiser 80 (Ninja), Land Cruiser 100 (Ninja King) Land Cruiser 200 (Super King) dan juga Land Cruiser Prado tetapi ia lebih kepada 4×4 kategori premium.

Land Cruiser siri 70 adalah model asas 4×4 yang hampir menyerupai Land Rover Defender. Ia lebih ringan, kukuh dan lebih sesuai untuk kerja-kerja lasak. Apatah lagi ia adalah buatan Toyota yang lebih mudah dibela berbanding Land Rover.

land cruiser 2 70 siries (1)

Land Cruiser II juga cukup popular di kalangan kaki-kaki 4×4. Saban tahun kita boleh saksikan model ini adalah cukup popular dalam apa jua acara 4×4. Itu belum termasuk yang menyertai Rainforest Challenge, khususnya model 2-pintu. Kelebihannya ialah ia ringan, gagah dan mudah diselenggara.

Oleh sebab itu jugalah harga di pasaran terpakai Land Cruiser II ataupun LC2 cukup tinggi. Versi petrol boleh didapati dengan harga tidak kurang dari RM30 ribu, versi diesel lagi la arwah harganya, model yang sudah direstorasi akan mencecah harga RM50-70 ribu. Jauh bezanya jika dibandingkan dengan Pajero ataupun Trooper yang seusia dengannya.

LC ini rupanya cukup popular di Australia. Jika di Malaysia, ramai yang memilih Toyota Hilux untuk kegunaan seharian (pergi pejabat je, bukan masuk ladang pun), di Australia, LC merupakan pilihan utama.

land cruiser 2 70 siries (5)

Ingat mendiang Steve Austin, The Crocodile Hunter? Beliau merupakan seorang peminat tegar Toyota, khususnya LC yang disifatkannya sebagai cukup lasak sesuai dengan pekerjaan beliau.

Ingatkan kehebatan LC 70 sudah berkubur tetapi rupanya di Australia, tapi sebenarnya pelbagai variasi model baru berasaskan model ini akan ditawarkan menjelang 2017. -Ciriciri tambahan dilengkapkan pada model yang sudah sedia lasak ini khususnya dari aspek keselamatan, prestasi dan keselesaan.

Ia juga untuk memastikan LC baru ini akan lulus ujian keselamatan Australasian New Car Assessment Program (ANCAP). Setakat ini versi single-cab telah diberikan penarafan 5-bintang oleh ANCAP manakala versi lain belum lagi diuji.

Aspek keselamatan termasuklah struktur cesi yang diperkuatkan, lebih banyak beg udara, amaran tali pinggang keledar penumpang dan 12 bahagian panel badan yang direka semula. Terdapat juga sistem kawalan cengkaman, ESP, sistem bantuan mendaki, bantuan brek dan EBD dengan cruise control.

land cruiser 2 70 siries (3)

Bahagian tayar dan rim juga dirombak semula. Kini ia dilengkapi dengan rim single piece dan buat pertama kalinya juga ia dipasang dengan tayar tanpa tiub (Laa…sebelum ni pakai tiub la ye).

Enjin terbesar yang ditawarkan untuk Land Cruiser ini ialah enjin V8 4.5 liter turbo. Ia dikatakan lebih menjimatkan bahan api berbanding enjin sebelumnya pada kadar 10 peratus.

Terdapat juga model yang dilengkapkan dengan tangki bahan api tunggal dengan kapasiti 130 liter. Model lain pula mengekalkan tetapan asal iaitu tangki bahan api berkembar dengan kapasiti 90 liter.

Khusus bagi peminat Land Cruiser dan salah satu ciri kelebihan LC ialah kotak fius baru dengan 10 fius gantian untuk kemudahan dan keselamatan jika pemilik ingin membuat penambahan elektrikal (biasanya spotlight dan winch).

land cruiser 2 70 siries (2)

Ujian model baru ini juga telah dijalankan di Australia dengan bantuan jurutera Toyota dari Jepun. Lebih 100,000 kilometer telah diharungi sepanjang ujian dengan 70 peratus laluan off-road.

Land Cruiser sudah mempunyai sejarah selama lebih 30 tahun dan ia diyakini ramai kerana boleh diharap dalam pelbagai aspek seperti membawa kargo dan juga penumpang, menunda dan keupayaan off-road.

Penggunanya termasuklah jabatan-jabatan kerajaan, peladang, pelombong dan ramai lagi. Suatu ketika dahulu datuk LC iaitu Toyota BJ juga digunakan oleh pelbagai jabatan kerajaan di Malaysia. Sekarang banyak dah bertukar kepada Nissan X-Trail.

Kini model baru LC telah mula dijual di Australia dengan pelbagai varian seperti:

  • Workmate Wagon
  • GXL Wagon
  • Workmate Troop-Carrier
  • GXL Troop-Carrier
  • Workmate Single Cab
  • GX Single Cab
  • GXL Single Cab
  • Workmate Double Cab
  • GXL Double Cab

 

Google ads
Back to top button