
WARNA SEMPENA ULANG TAHUN KE 40 KAWASAKI NINJA MEMANG RETRO HABIS – KENA BELI NI
Sejarah ninja ataupun pahlawan mistik Jepun memang sudah lama. Sejak abad ke 15 lagi sebenarnya. Tapi itu ninja sebenar dan kami nak cerita pasal Kawasaki Ninja yang mula diperkenalkan pada tahun 1984 (korang mesti tak lahir lagi kan masa tu?). Ia dijenamakan semula sebagai GPZ900R dan menggemparkan dunia dan memegang rekod kelajuan dunia untuk motosikal produksi selama empat tahun.

Kini sebagai memperingati ulang tahun ke 40 Ninja, Kawasaki telah memperkenalkan liveri warna baharu yang sangat retro.
Bagi yang tak berapa arif dengan motosikal, GPZ900R Ninja asal ialah superbike yang ditunggang oleh Tom Cruise dalam filem Top Gun 1986. Siap cuba berlumba dengan F14 Tomcat lagi kau.

Ia menjadi superbike pilihan penerbit filem tersebut kerana rekod kelajuan yang dipegang olehnya ketika itu. 243 kmj bang pada awal 80 an bukannya kelajuan yang main-main. Datuk kami pun ramai yang pakai Honda C70 je masa tu.
Ninja yang ditunggang oleh Cruise berwarna hitam tapi Kawasaki juga turut tawarkan warna hijau pada masa tersebut. Dah namanya pun Kawasaki kan?
Kawasaki sebelum itu telah menarik diri dari perlumbaan endurance tapi kemudian kembali bersaing pada tahun 1988 dengan Ninja ZXR-7. Menjelang 1991 mereka berjaya merangkul kejuaraan Endurance World Championship dan terus mengulangi pada tahun 1992 dan 1993. Warna hijau adalah sama seperti warna ZX-7 yang memenangi perlumbaan dan dan ZX-7 juga mempunyai versi jalanan yang dinamakan ZXR750.

Menurut Kawasaki kesemua logo model edisi ulang tahun ke 40 dihasilkan semula dari rekaan asal. Nombor sesaran mungkin bertukar tapi pilihan font ataupun bentuk tulisan adalah sama seperti model 80 dan 90 an. Tengoklah tulisan Kawasaki yang besar gedabak di bahagian sisi. Memang retro habis.
Kesemua model edisi ulang tahun ini semestinya berwarna hijau yang dilengkapi dengan logo khas pada bahagian atas tangki minyak.
