Motosikal

RASMI: HARGA KAWASAKI NINJA ZX-6R DIUMUMKAN – RM59,900

MODENAS selaku pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia telah pun mengumumkan harga jualan bagi Kawasaki Ninja ZX-6R. 

Motosikal segmen supersport bersesaran 636cc itu sudah boleh ditempah dengan harga jualan RM59,900 dengan penyerahan kepada 50 pelanggan pertama akan dibuat pada Februari 2025. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-6R yang dijual di Malaysia itu merupakan model pemasangan tempatan (CKD) dan terlebih dahulu telah pun dieksport ke pasaran China awal tahun ini. 

Untuk rekod, Ninja ZX-6R versi CKD itu merupakan model generasi terbaru yang telah menerima peningkatan signifkan. Selain dari reka bentuk lampu hadapan baharu, panel badan sisi juga berbeza berbanding generasi sebelumnya. Namun, beberapa aspek termasuk kerangka utama dan tangki masih lagi sama. 

Peningkatan terbesar memfokuskan bahagian enjin yang telah dinaik taraf bagi mencapai emisi Euro 5 terbaru. Ninja ZX-6R ini juga dikemas kini dengan panel meter TFT 4.3-inci baharu.

Antara usaha lain untuk memodenkan ZX-6R adalah dengan menawarkan empat mod baharu; Sport, Road, Rain dan Rider dengan setiap mod dipadankan bersama tetapan ‘traction control’ dan kuasa berbeza; Low atau Full. Sementara itu, mod Rider membolehkan penunggang membuat tetapan mengikut kesesuaian sendiri. 

Bagi mencapai emisi Euro 5, Kawasaki menaik taraf profil cam yang melancarkan aliran kuasa pada rpm rendah namun tindakan itu tidak membantu dalam meningkatkan kuasa puncak. Meskipun begitu, enjin empat silinder 636cc itu berupaya menjana 122hp pada 13,000rpm dan 70Nm pada 11,800rpm. Menariknya, Kawasaki mendakwa kuasa puncak hadir 500rpm lebih awal. 

ZX-6R baharu ini masih lagi mengekalkan suspensi Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) dan monoshock yang sama seperti model sebelumnya. Namun, pakej brek di pertingkat kepada cakera brek 310mm yang dipadankan bersama tayar Pirelli Diablo Rosso IV. 

Google ads
Back to top button