Buletin

GWM BAKAL MASUK KE PASARAN FILIPINA. SELARAS STRATEGI ASEAN DAN GLOBALISASI 2025

Great Wall Motors (GWM) secara rasmi memasuki pasaran Filipina hasil kerjasama dengan Luxuriant Automotive Group. Kedua-dua pihak akan meneroka dan membangunkan pasaran automotif Filipina.

Luxuriant Automotive Group (LAGI) ialah bahagian perniagaan automotif Kumpulan SQ. Ditubuhkan pada tahun 1988, skop perniagaan Kumpulan SQ merangkumi aspek pembuatan, hartanah, import dan pengedaran.

Selepas kenderaan hibrid, plug-in hybrid serta elektrik sepenuhnya masuk ke pasaran Thailand, GWM merancang untuk menawarkan model SUV dan trak pikap ke pasaran Filipina pada masa hadapan.

Ia selaras dengan strategi ASEAN yang dirancang oleh GWM untuk memulakan operasi secara berperingkat di Malaysia, Filipina, Vietnam serta Singapura. Strategi tersebut dinyatakan selepas kejayaan mereka di pasaran Thailand, Brunei dan Laos, sekali gus mempercepatkan strategi globalisasi 2025 GWM.

Setakat ini, GWM telah memperkenalkan kenderaan hibrid, plug-in hybrid dan elektrik ke pasaran Thailand seperti Haval H6 DHT-PHEV, Haval H6 HEV, Haval Jolion HEV, ORA Cat dan ORA Cat GT.

Pada Julai tahun ini, GWM menubuhkan sebuah anak syarikat di Malaysia yang fokus kepada pengeluaran model hibrid serta EV. Model-model seperti Ora Good Cat EV, Haval H6 dan Haval Jolion sedang dipertimbangkan untuk pasaran Malaysia.

Pada 21 Oktober, GWM mengeluarkan laporan kewangan untuk suku ketiga 2022 yang menyaksikan mereka meraih pendapatan sebanyak RM24.62 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 29.36 peratus serta meraih keuntungan bersih sebanyak RM1.7 bilion, naik 80.55 peratus.

Bagi suku ketiga pertama tahun ini, jumlah hasil GWM ialah RM65.4 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 9.56 peratus. Sementara keuntungan bersih pula adalah sebanyak RM5.3 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 64.80 peratus.

Google ads
Back to top button