
BYD SEAGULL. EV COMEL YANG MUNGKIN TIDAK AKAN SAMPAI KE MALAYSIA
Baru-baru ini, kami telah dijemput oleh Sime Darby Motors untuk melawat ibu pejabat BYF di Shenzen, China. Perlu diakui bahawa lawatan selama tiga hari ini benar-benar membuka mata semua peserta mengenai keupayaan teknologi yang ditawarkan oleh BYD kepada industri automotif dunia.
Di lobi ibu pejabat yang cukup luas, lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk semua pekerjanya, ada beberapa model terbaharu BYD dipamerkan.
Antara yang paling menarik perhatian saya ialah model kompak BYD Seagull. Mula dijual pada April lalu, Seagull mendapat sambutan hangat dengan lebih 10,000 tempahan diterima dalam tempoh 24 jam.
Seagull merupakan model paling kecil dalam keluarga Ocean Series yang dihasilkan oleh BYD. Ditawarkan pada harga sekitar RM51,000 seunit, ia tampil dengan rekaan garis-garis tajam dan dilihat sangat sesuai untuk kegunaan di kawasan bandar.

Bahagian belakang diserlahkan dengan sepasang lampu LED, bar lampu LED, spoiler dan kemasan berwarna hitam pada bampar bawah. Dari segi saiz, jentera itu sebenarnya tidak jauh beza dengan Perodua Axia melalui dimensi 3780mm panjang, lebar 1,715mm, tinggi 1,540mm dan jarak roda 2,500mm.
Masuk ke ruang kabin, rekaannya lebih relaks berbanding Atto 3 yang bagi saya terlebih design. Papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk didatangkan dalam dua tona yang berlainan dengan warna luaran kereta. Sebagai contoh Seagull kuning ini, ruang dalamannya dimeriahkan dengan gabungan warna biru dan hitam. Hmmm..
Pemandu dihidangkan dengan skrin instrumen LCD bersaiz tujuh inci yang memaparkan pelbagai maklumat pemanduan. Bahagian tengah papan pemupa pula dihuni oleh skrin berukuran 01.1 inci yang membolehkan pemandu mengawal sistem infohibur dan sebagainya.

Harus diakui bahawa reka bentuk dan susun atur kabin Seagull ini cukup ringkas dengan butang untuk tuil gear, mode pemanduan, pendingin hawa dan lampu kecemasan dikumpulkan sekali dalam satu baris. Bahagian bawah corong pendingin hawa pula terletak satu pad untuk pengecasan tanpa wayar.
Apa saya suka tentang ruang dalaman Seagull ini ialah penggunaan material yang langsung tidak membuatkanya kelihatan atau rasa murah.
Sebagai sebuah kereta bandar, Seagull digerak menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 74 atau 94hp dengan kelajuan dihadkan kepada 130km/j sahaja. Ia boleh memecut dari 0-50km/j dalam masa 4.9 saat.

Kuasa tersebut dibekalkan oleh bateri jenis natrium-ion 30kWh yang mampu menawarkan jarak sehingga 305km. Manakala varian dengan bateri berkapasiti 38kWh pula boleh bergerak sejauh 405km sekali caj. Jarak itu sebenarnya sudah lebih daripada cukup untuk kegunaan di dalam bandar setiap hari.
Ya, pasti ada yang tertanya-tanya adakah Seagull bakal diperkenalkan di Malaysia. Jawapannya, mungkin tidak kerana ketika ia dibangunkan, BYD hanya membina Seagull untuk pemanduan sebelah kiri sahaja. Lagipun, kos untuk menukar pemanduan ke sebelah kanan bukan kerja mudah dan memerlukan belanja yang tinggi.
Namun, bagi sebuah pengeluar kenderaan yang memiliki teknologi terkini, tiada ada yang mustahil. Kita tunggu dan lihat sahaja. Kalau ada rezeki, sampai lah Seagull ke sini.
- BACA: SEGALANYA TENTANG BYD SEAGULL, EV TERMURAH DENGAN HARGA RM 51K
- BACA: BYD SEAGULL BAKAL BERADA DI PASARAN APRIL 2023. 75HP, HARGA BERMULA RM38K
- BACA: PAKAR INDUSTRI BERI AMARAN KEPADA BYD – JANGAN SERONOK SANGAT!
- BACA: BYD BINA SUSPENSI CASIS BAHARU MACAM PORSCHE DAN MERCEDES UNTUK EV PREMIUM
GALERI








