
TERKINI: CFLITE DUAL 250 LANCAR DI MALAYSIA FEBRUARI 2026 – BAWAH RM10K
Sekitar bulan November lalu, kami telah pun melawat kilang CFMOTO di Zhejiang, China dan melihat dengan lebih dekat beberapa tawaran baharu yang bakal masuk pasaran Malaysia.
Ketika itu, kami menerima info bahawa CFMOTO Malaysia bercadang untuk memperkenalkan motosikal dual-purpose itu sekitar bulan Mac 2026.

Bagaimanapun, setelah mendapat maklum balas positif dari orang ramai, kami dimaklumkan bahawa CFLite Dual 250 ini akan dilancarkan di Malaysia seawal bulan Februari 2026.
Lebih mencuri tumpuan, harga yang bakal dicadangkan adalah bawah RM10,000 sekaligus bakal memberi saingan sengit pada Modenas/Kawasaki KLX 230 yang ketika ini dijual pada harga RM23,000.

Menggerakan 250Dual ini adalah unit satu silinder 249.2cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 24hp pada 8,000rpm dan 22.5Nm pada 7,000rpm.
Berbeza dengan 230Dual yang dipasarkan di Filipina yang mengguna pakai sistem karburator, versi 250cc ini pula menggunakan suntikan bahan api (EFI).

Antara perincian lain tersenarai termasuk:
- cakera brek 265mm depan
- tangki bahan api 13L
- cakera brek 220mm belakang
- lampu LED
- rim spoke (tube)
- USB Type-A
Melengkapkan CFLite 250Dual ini sebagai motosikal dual-purpose adalah penggunaan rim berukuran 21-inci depan dan 18-inci belakang. Menariknya, ABS juga didatangkan secara standard.









