Buletin

ENGGAN PAKAI TOPENG MUKA DAN PROVOKASI POLIS, WARGA EMAS DITEMBAK MATI DI FILIPINA

Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun menjadi individu pertama yang ditembak mati oleh pasukan polis di Filipina kerana melanggar arahan kuarantin di negara itu. 

Mangsa didakwa tidak memakai topeng muka dan melakukan provokasi ke atas polis. Dia yang berada dalam keadaan mabuk mempersoalkan arahan memakai topeng muka. 

Situasi menjadi semakin tegang apabila dia mengugut anggota polis dengan pisau di sebuah kampung di selatan bandar Nasipit, wilayah Agusan del Norte. 

“Suspek telah diberi amaran oleh pekerja kesihatan di kampung berkenaan kerana tidak mahu memakai topeng muka. Sebaliknya, dia naik angin, sebelum melakukan provokasi dan menyerang anggota polis menggunakan pisau cukur,” jelas laporan polis.

Sebelum ini, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengarahkan polis dan tentera supaya menembak mati rakyat yang melanggar perintah kuarantin dan mencetuskan masalah sepanjang tempoh pandamik. 

Khamis lalu, kerajaan Filipina mengarahkan rakyat supaya memakai topeng muka ketika berada di luar rumah. “Saya ulang sekali lagi, jika anda keluar rumah, sila pakai topeng muka,” kata pegawai kerajaan, Karlo Nograles. – agensi 

Google ads
Back to top button